Anda di sini

Iklan promosi Sarawak sebagai destinasi pelancongan

Advertisement
 Abdul Karim bersama Sharzede (dua kanan) dan Abdul Aziz (tiga kanan) serta yang lain memerhatikan paparan destinasi menarik di Sarawak yang dipaparkan dalam iklan pada ruang simpanan bagasi dalam pesawat AirAsia yang dilancarkan, semalam.
MENARIK: Abdul Karim bersama Sharzede (dua kanan) dan Abdul Aziz (tiga kanan) serta yang lain memerhatikan paparan destinasi menarik di Sarawak yang dipaparkan dalam iklan pada ruang simpanan bagasi dalam pesawat AirAsia yang dilancarkan, semalam.

KUCHING: Syarikat penerbangan AirAsia bersama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Laduni Services melancarkan inisiatif pengiklanan terbaharu bagi mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan, semalam.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Rahman Hamzah berkata, pengiklanan kali ini adalah paparan mengenai Sarawak pada ruang simpanan bagasi pesawat AirAsia yang menjadi sebahagian daripada promosi Kempen Melawat Sarawak.

Menurutnya, promosi berkenaan melibatkan lima pesawat penerbangan terbabit di mana, simpanan bagasi dan dulang makanan akan disisipkan dengan panel iklan dengan 10 visual berbeza bagi setiap pesawat.

“Lima pesawat berkenaan akan terbang ke destinasi di semua negara ASEAN seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Singapura, GuangZhou, Shenzhen, ChengDu, Bangkok, Phuket dan banyak lagi.

“Ia akan mendedahkan pengiklanan pada ruang simpanan bagasi yang dipamerkan dalam pesawat dan kempen ini bertujuan mencapai sasaran kita untuk mewujudkan 15 juta orang melihat paparan iklan ini sepanjang tahun kempen,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Datuk Abdul Aziz Abu Bakar di sini, semalam.

Beliau berkata, inisiatif pengiklanan baharu penerbangan AirAsia itu akan memberi manfaat kepada Sarawak kerana ia melibatkan persinggahan di lapangan terbang termasuk Langkawi, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Alor Setar, Pulau Pinang dan Kuching bagi Malaysia.

Sementara itu penerbangan berkenaan juga akan berhenti di lapangan terbang seperti Bangkok, Phuket dan Chiang Mai di Thailand, Chennai, Kochi dan Kolkata di India, Ho Chi Min, Danang, Hanoi di Vietnam, Medan dan Jakarta di Indonesia, Phnom Penh dan Siam Rep di Kemboja, Chongqing, Hangzhou, Kunming dan Shenzhen di China, Bandar Seri Begawan, Brunei dan Singapura.

Beliau berkata, tempoh untuk paparan panel iklan adalah selama setahun bermula 21 Jun di AirAsia Malaysia dan 5 Julai untuk AirAsia Thailand.

Bagaimanapun katanya, panel iklan berkenaan boleh dilanjutkan sehingga maksimum 24 bulan bergantung kepada ketahanan pelekat serta bahan tetapi tertakluk kepada penyelenggaraan berjadual atau tidak berjadual pesawat tersebut pada bila-bila masa.

“Kita berharap insiatif pengiklanan ini dapat membawa kita ke arah penjenamaan lebih besar di rantau ini yang menyasarkan pelancong yang betul iaitu pengembara.

“Ia berfungsi untuk menyampaikan bukan sahaja promosi kita tetapi disokong dengan visual destinasi ikon negeri kita termasuk Tapak Warisan Dunia UNESCO di Taman Negara Mulu, Laksa Sarawak, Pantai Tusan, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia dan bunga Rafflesia,” katanya.

Abdul Karim berkata, untuk rekod, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melancarkan ‘Livery Aircraft’ pada pesawat AirAsia sempena Kempen Melawat Sarawak pada 2 Februari lepas.

Menurut statistik terkini, katanya ketibaan pelawat ke Sarawak pada Jun adalah 432,575 iaitu peningkatan 13.27 peratus berbanding tempoh sama tahun 2018, iaitu 381,889.

Manakala bagi ketibaan keseluruhan iaitu dari Januari hingga Jun 2019, ketibaan pelawat adalah lebih 2.23 juta iaitu peningkatan 4.58 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, lebih 2.13 juta ketibaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Salleh Askor berkata, STB sedang merancang kempen promosi tahun depan dengan harapan dapat meningkatkan ketibaan pelawat yang lebih baik bukan sahaja dalam negeri tetapi luar negara.

“Kami akan meneruskan fasa penjenamaan destinasi seterusnya untuk menarik lebih ramai yang datang dan inisiatif ini disokong oleh ‘Duta Jenama’ untuk menjadi sebahagian daripada ikon Sarawak, yang mengesyorkan produk Sarawak,” katanya.

Advertisement