Anda di sini

DBKK jamin cas munasabah kepada pengusaha bas

 DBKK akan mengenakan caj yang munasabah kepada pengusaha bas di KK Sentral.
KK SENTRAL: DBKK akan mengenakan caj yang munasabah kepada pengusaha bas di KK Sentral.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengenakan caj yang munasabah untuk pengusaha bas yang beroperasi di Terminal Bas KK Sentral di sini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Arifin Asgali berkata, setakat ini belum ada caj dikenakan untuk tempoh sebulan sejak ia dibuka pada 20 Julai lepas.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, beliau menjelaskan pihak penguasaha bas sudah dimaklumkan mengenai caj berkenaan.

 Arifin (kanan) dan Nordin (kiri) bercakap kepada media selepas majlis itu.
SIDANG MEDIA: Arifin (kanan) dan Nordin (kiri) bercakap kepada media selepas majlis itu.

Menurutnya, perkara itu masih dalam proses perbincangan di antara DBKK dengan pengusaha bas bagi memutuskan harga yang sesuai untuk caj kepada pengusaha bas di KK Sentral.

Ditanya sama ada wujud rungutan dalam kalangan pengusaha bas berhubung isu caj terbabit, Arifin berkata tiada rungutan atau aduan diterima setakat ini.

"Kalau ada rungutan-rungutan seperti ini, pihak berkaitan boleh berjumpa untuk kita berbincang.

"Kita lebih kepada cara berbincang bukannya membuat keputusan tanpa perbincangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Ibadah Korban DBKK di sini pada Selasa. Turut hadir Mayor DBKK Datuk Nordin Siman.

Arifin berkata, jika ada sebarang masalah, pihak pengusaha bas boleh berjumpa beliau atau Mayor DBKK untuk kebaikan semua pihak.

Operasi perkhidmatan bas ekspress bagi laluan Beaufort, Menumbok, Sipitang, Lawas, Limbang, dan Brunei Darussalam mula dipindahkan ke KK Sentral sejak 20 Julai lepas.

Sebelum ini, kesemua perkhidmatan bas ekspress berkenaan beroperasi di Terminal Sementara Jalan Tugu berhampiran dengan bangunan DBKK di sini.