Anda di sini

Curtin Malaysia di Senadin ditutup sementara sehingga jerebu pulih

Advertisement
Pemandangan dari udara menunjukkan keadaan di Kuala Baram - Gambar ihsan Bomba 

MIRI: Universiti Curtin Malaysia (Curtin Malaysia) Sarawak di Senadin menutup sementara kelas-kelas kuliahnya berkuat kuasa hari ini, berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk di samping kualiti udara yang sangat tidak sihat dan berbahaya menyelubungi kampus tersebut. 

Curtin Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, memberitahu pihak pengurusan kampus itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan membatalkan semua kuliahnya buat sementara waktu kerana tidak mahu semua pelajar, pensyarah dan kakitangannya berdepan dengan risiko kesihatan akibat pendedahan terhadap jerebu agak buruk ketika ini.  
 
"Pada masa yang sama pihak pengurusan kampuns akan terus memantau keadaan dan memastikan komuniti kampus dimaklumkan dengan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. 

"Kakitangan dan pelajar dinasihatkan agar sentiasa berada di dalam rumah atau asrama mereka, memakai penutup mulut dan hidung dan meminum air yang banyak, dengan pusat kesihatan kampus bersedia untuk memberikan bantuan apabila diperlukan."

Penutup mulut dan hidung diberikan secara percuma kepada semua warga kampus berkenaan. 

Pihak universiti menjangkakan keadaan akan bertambah baik tidak lama lagi dan jadual penggantian kelas sudah disediakan, apabila sesi bermula kelak. 

Sementara itu, jurucakap universiti memberitahu pihaknya sentiasa mengingatkan para pelajar supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan berhati-hati dengan tahap IPU yang diumumkan di media massa dan oleh pihak berkuasa berkaitan. 

Pada Selasa katanya, pihak pengurusan hanya membuka kampus berkenaan separuh hari sahaja dan apabila IPU melonjak naik dan kekal dalam paras bahaya.

"Kita akan membuat pengumuman lanjut jika perlu untuk kesihatan dan keselamatan komuniti kampus kita di sini dan jika keadaan masih belum mengizinkan, kami tidak mempunyai pilihan selain menutup kampus ini sehingga ia pulih kelak," jelas beliau

  • oleh
  • Advertisement