Anda di sini

Cadangan sedia tempat merokok diteliti

 ARIFIN (empat kiri) menyampaikan sumbangan daging korban kepada penerima pada majlis itu. Turut kelihatan Nordin (dua kiri) dan tetamu jemputan lain.
AGIH KORBAN: Arifin (empat kiri) menyampaikan sumbangan daging korban kepada penerima pada majlis itu. Turut kelihatan Nordin (dua kiri) dan tetamu jemputan lain.

KOTA KINABALU: Kerajaan akan meneliti cadangan berhubung keperluan menyediakan tempat merokok di premis makanan di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Arifin Asgali berkata, perkara berkenaan sudah dibawa dalam mesyuarat Kabinet negeri dan akan dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Katanya, kerajaan negeri akan meneliti sejauh mana keperluan cadangan itu memandangkan masih ramai yang merokok dan ada keperluan menyediakan tempat merokok di kawasan premis makanan.

Beliau yang juga bertanggungjawab ke atas Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata, setakat ini pihaknya melihat keperluan berkenaan bagi kawasan bandaraya terlebih dahulu.

"Apa yang penting, kita perlu berbincang dahulu dengan Kementerian Kesihatan mengenai cadangan ini bagi melihat ia ada keperluan atau sebaliknya.

"Seperti di negara Singapura, kita tahu biarpun negara itu mempunyai undang-undang kebersihan yang ketat, tapi mereka ada menyediakan tempat merokok di premis makanan," jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap perkara berkenaan dapat diselesaikan dalam bulan ini.

Arifin berkata demikian kepada media selepas majlis Ibadah Korban DBKK di sini pada Selasa. Turut hadir Mayor DBKK Datuk Nordin Siman.

Dalam pada itu, pihaknya turut menerima sebarang cadangan berhubung tanda larangan merokok di setiap premis makanan.

"Kalau ada cadangan baik seperti meletakkan tanda larangan di atas meja, DBKK akan meneliti perkara itu secara terperinci.

"Kita akan minta kerjasama daripada peniaga untuk sediakan tanda larangan merokok di atas meja," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak sembilan ekor lembu daripada anggota Muslim DBKK, individu persendiran dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin disumbangkan untuk ibadah korban.

Daging korban berkenaan diagihkan kepada seramai 397 penerima termasuk 250 kakitangan DBKK dan juga golongan fakir miskin dan asnaf sekitar bandaraya.