Anda di sini

Bekas atlet diseru daftar segera untuk AMAC 2019

Advertisement
 (Dari kiri) Dr Ong, Snowdan dan V Pulainthiran semasa mesyuarat baru-baru ini.
BINCANG: (Dari kiri) Dr Ong, Snowdan dan V Pulainthiran semasa mesyuarat baru-baru ini.

KUCHING: Bekas atlet tempatan yang berhasrat untuk menyertai Kejohanan Olahraga Masters Asia Ke-21 (AMAC) 2019 harus mendaftar dengan segera sebelum pendaftaran ditutup.

Untuk atlet Malaysia, pendaftaran dibuka hingga 7 September depan manakala pendaftaran bagi atlet luar negara berakhir pada 1 September depan.

Mereka yang berminat boleh mendaftar secara atas talian di registration.amackuching2019.com.

Temasya berprestij anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Olahraga Masters Malaysia (MMAA) itu akan berlangsung dari 2 hingga 6 Disember di Stadium Negeri dan Stadium Sarawak, Petra Jaya.

Ia menyasarkan seramai 3,000 atlet, pegawai serta ahli keluarga berkampung selama seminggu di sini untuk bersaing dalam 1,500 acara balapan dan padang.

Pada Kejohanan Olahraga Masters Antarabangsa Terbuka Malaysia 2017 diadakan di Kuching, Sarawak, seramai 81 atlet tempatan turut serta termasuk bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

Baru-baru ini, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persiapan terkini untuk menganjurkan kejohanan dunia itu.

Turut serta dalam mesyuarat itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee, Penaung Persatuan Olahraga Masters Malaysia (MMAA) Datuk Seri V Pulainthiran dan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan kejohanan berkenaan.

Sebagai rekod, larian obor akan diadakan buat julung kalinya pada AMAC 2019 dengan venue permulaan larian di Singapura bermula 24 November depan dan akan dinyalakan secara rasmi pada 2 Disember.

Advertisement