Anda di sini

Alisson disahkan tidak dapat beraksi ‘untuk beberapa minggu’, kata Klopp

Advertisement
 Alisson (tengah) menerima rawatan daripada pegawai perubatan pasukan ketika perlawanan di antara Liverpool dan Norwich di Anfield, Liverpool pada 9 Ogos lepas. — Gambar AFP
CEDERA: Alisson (tengah) menerima rawatan daripada pegawai perubatan pasukan ketika perlawanan di antara Liverpool dan Norwich di Anfield, Liverpool pada 9 Ogos lepas. — Gambar AFP

LONDON, England: Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, disahkan tidak dapat beraksi “untuk beberapa minggu” oleh jurulatih kelab, Jurgen Klopp selepas mengalami kecederaan betis ketika kemenangan 4-1 ke atas Norwich City hujung minggu lepas.

Alisson mengalami kecederaan pada separuh masa pertama perlawanan pembukaan musim baharu Liga Perdana Inggeris di Anfield pada hari Jumaat.

“Tidak bagus. Ia kecederaan betis yang sememangnya menyebabkan beliau tidak dapat beraksi untuk beberapa minggu,” kata Klopp.

“Saya tidak mahu membuat ramalan bila beliau akan kembali beraksi tetapi beliau sudah pasti tidak dapat beraksi Rabu ini, jadi kita akan tunggu dan lihat. Ia mengambil masa, mungkin beberapa minggu.

“Saya sudah membayangkan ‘enam minggu’ dan seumpamanya tetapi Ali tidak mengalami banyak kecederaan dalam kariernya, jadi saya mahu menunggu dan melihat bagaimana perkembangan beliau dari sekarang, tetapi beliau tidak dapat bermain untuk beberapa minggu akan datang.”

Alisson, 26, diganti oleh penjaga gol berpengalaman dari Sepanyol, Adrian ketika menentang Norwich.

Bekas penjaga gol West Ham, yang menyertai Liverpool tanpa yuran perpindahan minggu lepas, dijangka akan mengekalkan tempat untuk perlawanan Piala Super Eropah menentang Chelsea di Istanbul hari ini.

Penjaga gol pilihan ketiga, Caoimhin Kelleher, belum cergas sepenuhnya selepas pulih dari kecederaan retak pergelangan tangan, jadi kelab dijangka akan mendapatkan bekas penjaga gol Middlesbrough berusia 35 tahun, Andy Lonergan tanpa yuran perpindahan.

Lonergan terlibat dalam jelajah pramusim sebagai sokongan kepada penjaga gol yang lain.

Ditanya jika Lonergan akan berada di bangku simpanan Rabu ini, Klopp berkata: “Saya fikir begitu. Saya belum bercakap dengan (jurulatih penjaga gol) John Achterberg. Kami banyak bercakap tentang situasi di pintu gol selain dari apa yang harus kami lakukan pada hari Rabu.

“Kita akan lihat tetapi kami sememangnya memiliki ramai pemain di bangku simpanan dan saya fikir Andy akan menjadi salah seorang daripada mereka.

“Beliau bersama dengan kami semasa pramusim dan banyak membantu dan sekarang kami membuat keputusan untuk bekerjasama dengan beliau.”

Kehilangan Alisson untuk satu tempoh yang lama pastinya satu kerugian besar kepada kelab.

Tetapi pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold, bercakap selepas perlawanan menentang Norwich, menegaskan Adrian akan membuktikan kualitinya sebagai pengganti Alisson.

“Pengalaman beliau adalah paling penting, beliau tahu apa yang beliau lakukan. Beliau bermain banyak perlawanan, jadi beliau mengetahuinya,” kata Alexander-Arnold.

“Sememangnya, apabila seorang penjaga gol terpaksa dikeluarkan, ia membimbangkan, jadi ya, saya fikir semua orang perlu melupakan di mana beliau (Adrian) akan berada di pintu gawang untuk beberapa minggu dan kerana itu kami harus menerimanya dan saya pasti beliau akan belajar dari kami.” — AFP

Advertisement