Anda di sini

10,000 hingga 15,000 penonton dijangka saksikan Sibu Drag Race

 Dr Annuar (empat kiri) menyampaikan tajaan kepada Zainudin, sementara ahli Kelab Permotoran PB Sibu yang lain melihat sama.
TAJAAN: Dr Annuar (empat kiri) menyampaikan tajaan kepada Zainudin, sementara ahli Kelab Permotoran PB Sibu yang lain melihat sama.

SIBU: Pengerusi Kelab Permotoran PB Sibu Zainudin Abu Talip menjangkakan seramai 10,000 hingga 15,000 penonton bakal membanjiri lapangan terbang Sibu lama, bersebelahan dengan Kolej Laila Taib bagi menyaksikan acara Sibu Drag Race (SDR) 2019 yang akan berlangsung pada 7 hingga 9 September depan.

Menurutnya, penganjuran pada tahun lalu telah berjaya menarik seramai lebih 10,000 penonton dari seluruh Sarawak.

“Kita yakin acara ini akan menjanjikan perlumbaan yang menarik dan berharap penonton terutama peminat sukan permotoran akan datang beramai-ramai bagi memeriahkan suasana,” katanya yang juga pengerusi penganjur SDR 2019.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan tajaan daripada Pusat Khidmat Nangka selaku penaja utama SDR 2019 yang disampaikan oleh Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee di Pusat Khidmat Nangka, semalam.

Menurut Zainudin lagi, pihaknya turut menyasarkan penyertaan kira-kira 300 peserta dari seluruh negara untuk merebut gelaran juara bagi setiap 20 kategori dipertandingkan.

Katanya lagi, satu pasukan dari Pahang dan Brunei telah mengesahkan penyertaan dan mereka masih menunggu pengesahan daripada pasukan Terengganu dan Sabah.

“Tidak seperti edisi lepas dengan hanya kategori kereta dan motosikal, tetapi edisi tahun ini kita membuka satu kategori baharu iaitu acara drif yang turut mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta.

“Kategori drift dibahagikan kepada dua bahagian - Gimkhana dan drift battle, manakala kategori kereta dan motosikal dibahagikan kepada 19 acara, bergantung kepada kapasiti enjin kenderaan.

“Oleh itu, edisi kali ini menjanjikan hadiah kemenangan berjumlah kira-kira RM20,000,” ujarnya.

Yuran penyertaan bagi kategori motosikal adalah dari RM150 hingga RM200, kategori kereta dari RM250 hingga RM300 dan kategori drif hanya RM50.

SDR 2019 juga akan turut dimeriahkan dengan beberapa acara sampingan yang lain seperti pameran kereta dan motosikal dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakam setinggi penghargaan kepada Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka kerana setiap tahun menyokong acara berkenaan untuk manfaat belia di Sibu khususnya.

Sementara itu, mereka yang berminat menyertai acara itu boleh menghubungi Zainudin di talian 0128073303 atau Haziq Mohd Isa (0149944210).