MIRI: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah hari ini melahirkan rasa kesal dengan penyelarasan pengurusan bencana yang tidak menepati prosedur operasi standard (SOP) dan persetujuan-persetujuan yang telah dicapai sebelum ini.
Mesyuarat bersama ahli jawatankuasa pengurusan bencana bahagian Miri di sini petang tadi, mendapati penyelarasan pengurusan agak kurang, katanya, sekali gus menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) terpaksa bertindak 'sendirian' menangani kebakaran hutan di Miri dan juga di seluruh negeri.
"Langkah-langkah yang dulu telah kita persetujui nampaknya tidak dilaksanakan dan sebagainya.
"Jadi saya minta semua Residen di setiap bahagian untuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat bahagian untuk bersiap sedia menghadapi musim kering dan kemarau yang dijangka berpanjangan sehingga bulan Oktober," katanya, sambil menambah masalah air adalah yang utama dengan jentera pengurusan bencana di setiap bahagian perlu berkordinasi sesama mereka sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah itu kelak.
"Kalau ada kebakaran, segala SOP yang telah ditetapkan perlu dipatuhi. Jadi petang ini tadi (mesyuarat bersama jawatankuasa), kita telah mengimbas kembali persetujuan yang telah kita capai bersama dan membincangkan masalahnya.
"Seperti yang berlaku di Miri, sejak beberapa hari lalu mereka (JBPM) bekerja sendirian, malah terpaksa mendapatkan bantuan daripada Kuching (pasukan STORM)," ujarnya kesal.
"Sedangkan setahun yang lalu, kita ada pasukan bomba, tentera, polis, Jabatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain agensi, semuanya saling bekerjasama dan tidak timbul isu tenaga kerja," ujar beliau lagi dan berkata perkara itu tidak berlaku pada kali ini dan tiada dalam senarai.
"Jadi saya mahu ia bermula esok, semua penyelarasan perlu diperkuatkan dan ahli-ahli jawatankuasa pengurusan bencana bahagian, digerakkan untuk mengambil bahagian, kerana ia sepatutnya bukan menjadi satu isu atau masalah," tambah beliau lagi.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita semasa sidang media di Menara Peninjau, di Tudan dekat sini, petang tadi.
"Bagi pihak rakyat Miri dan negeri ini amnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba dan penyelamat kerana telah bertungkus-lumus yang hampir kesemuanya dilakukan oleh mereka bersendirian untuk memadamkan api dan kebakaran hutan atau belukar di 75 'hotspot' (titik panas) di seluruh negeri," ujar Uggah lagi.