Anda di sini

Lelaki dipenjara lima tahun, satu sebat guna dadah kali ketiga

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki disabitkan dengan kesalahan menggunakan dadah buat kali ketiga oleh Mahkamah Sesyen di sini, dikenakan penjara lima tahun dan satu sebat.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Iskandar Yahya, 21, yang tidak diwakili peguam selepas mengaku salah.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada 11 Jun jam 12.30 tengahari di Likas, di sini.

Iskandar didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 39 C (1) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun serta dikenakan tidak lebih daripada tiga sebat.

Semasa rayuan, tertuduh memohon tempoh pemenjaraannya dikira serentak dengan hukuman yang dijalaninya sekarang ini atas kesalahan memiliki dadah.

Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip berkata, tertuduh dikenakan penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan memiliki dadah.

Beliau juga meminta hukuman yang berat dikenakan terhadap tertuduh.

Noor Hafizah juga mengarahkan tertuduh dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun, selepas tamat menjalani hukuman.

  • oleh
  • Advertisement