Anda di sini

Denda RM5,600, gagal sediakan inventori bahan kimia berbahaya

Advertisement

KOTA KINABALU: Sebuah syarikat dikenakan denda RM5,600 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan gagal menyediakan inventori bahan kimia berbahaya bagi tahun lalu.

Majistret Lovely Natasha Charles membuat keputusan terbabit selepas wakil syarikat Sabah Oxygen Sdn Bhd mengaku salah atas tuduhan itu.

Selain itu, syarikat berkenaan yang merupakan pengilang dan pengimport kimia berbahaya juga didapati gagal mengemukakan inventori berkenaan kepada Ketua Pengarah sebelum 31 Mac.

Kesalahan didapati dilakukan ketika sepasukan pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melakukan pemeriksaan di premis syarikat berkenaan pada 30 April di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini.

Bahan kimia terbabit adalah cecair oksigen, argon mampat, karbon dioksida, cecair nitrogen, asetelina larut, udara mampat dan nitrogen mampat.

Untuk tujuh pertuduhan itu, mahkamah mengenakan denda sebanyak RM800 atau kegagalan membayar, penjara selama sebulan.

Syarikat terbabit didakwa mengikut Peraturan 14 (2) Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013.

Pegawai Pendakwa Ady Norman Sulaiman dari JKKP melakukan pendakwaan sementara syarikat diwakili Peguam Lo Chun Kiat.

  • oleh
  • Advertisement