Anda di sini

Cederakan isteri: Lelaki dilepaskan tanpa dibebaskan

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dilepaskan tanpa dibebaskan atas tuduhan mencederakan isterinya dengan menggunakan lampu suluh.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim membuat keputusan itu terhadap Felik Kritok, 35, yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dihukum mengikut Seksyen 326 A kanun sama.

Tertuduh mencederakan mangsa yang berusia 35 tahun, pada 12 April jam 7 malam di bilik tidur, Kampung Mandalipau daerah Papar.

Jika sabit salah, penjara selama tempoh 10 tahun atau boleh dikenakan denda, atau dengan sebatan atau dua daripada siksaan terbabit.

Terdahulu, mahkamah dimaklumkan bahawa pengadu (mangsa) ingin menarik kembali kes terhadap tertuduh dan laporan polis mengenai penarikan terbabit sudah dilakukan.

Menurut Timbalan Pendakwaraya Mohd Ali Imran, pihaknya mendapat arahan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk memohon melepaskan tanpa membebaskan tertuduh.

Pengadu yang hadir di mahkamah menyatakan, tujuan beliau menarik balik kes berkenaan kerana keluarganya masih bergantung dengan tertuduh yang menjadi sumber ekonomi mereka.

Felik yang tidak diwakili peguam mula didakwa pada 30 April dan mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 dicagarkan dua penjamin tempatan.

Sepatutnya pada Selasa kes berkenaan didengar untuk perbicaraan.

  • oleh
  • Advertisement