Anda di sini

Bertarung melawan api

Advertisement
 Jerebu tebal menyelubungi kawasan ILP Miri hingga ke Kuala Baram menyebabkan bacaan IPU amat tidak sihat dan berbahaya.
TEBAL: Jerebu tebal menyelubungi kawasan ILP Miri hingga ke Kuala Baram menyebabkan bacaan IPU amat tidak sihat dan berbahaya.

MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 6 di sini terpaksa bertarung nyawa selama dua jam malam kelmarin untuk memadamkan kebakaran hutan paya di sini bagi mengurangkan punca api dan menghalang ia terus merebak ke kawasan lain.

Malah kebakaran yang berlaku semalam telah mengakibatkan jerebu yang lebih buruk pagi semalam, menyebabkan Penguasa Zon 6 Superintenden Law Poh Kiong dalam akaun Facebook (FB) miliknya memohon maaf kepada penduduk Miri berikutan keadaan berjerebu tersebut yang boleh menjejaskan kesihatan khususnya kepada bayi dan kanak-kanak, di samping abu tebal yang mengotorkan kediaman penduduk serta bau asap.

“Saya berasa amat kesal kerana kesulitan yang disebabkan jerebu, (mengakibatkan) bayi dan anak-anak sakit, (pencemaran) bau daripada asap serta rumah dan kereta menjadi kotor,” kata Law dalam catatannya di akaun FB peribadi kelmarin (Ahad).

Namun penduduk Miri yang faham dengan situasi berlaku, tetap memberi maklum balas positif serta dorongan kepada pasukan bomba dan penyelamat Miri, tanpa menekan mereka dengan rasa bersalah sebaliknya menyokong serta memberi ulasan terbaik terhadap usaha yang dilakukan Law dan pasukannya yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sejak beberapa hari lepas tanpa henti.

“Malam tadi kami berjaya memadamkan api terbesar di dalam hutan dan keadaan di Miri semakin baik.

“Pertarungan dua jam itu tidak mudah tetapi semua anggota kami berjaya melakukannya, dengan kesihatan mental dan fizikal yang kuat,” katanya.

Api yang dicetuskan oleh manusia dan ditambah dengan cuaca kering serta angin kencang telah menyebabkan keadaan semakin sukar dan kebakaran semakin buruk kerana merebak dengan pantas.

“Selepas pasukan bomba sukarela pulang malam tadi, anggota kami masih ‘berlawan’ dengan api sehingga larut malam untuk memadamkannya,” ujar beliau.

Menurut Law, semalam pasukan pemadaman memberi tumpuan kepada tiga kawasan tumpuan iaitu sepanjang Jalan Bypass Miri-Kuala Baram bagi mengurangkan jerebu di sepanjang laluan berkenaan dan mengelakkan kejadian kemalangan jalan raya.

Katanya, keluasan kawasan yang dikesan terjejas ialah 70 hektar dengan keluasan yang masih aktif mengeluarkan asap ialah 40 hektar manakala baki keluasan 30 hektar lagi berjaya dipadamkan menggunakan teknik pemadaman ‘direct attack’ ke kepala api.

Law berkata bagi ‘hotspot’ pertama di lot 3709 berhampiran Jalan Bypass Miri-Kuala Baram, pihaknya menjangkakan mereka berjaya memadamkan kesemua kebakaran di kawasan berkenaan pada hari ini.

Bagi ‘hotspot’ kedua yang terletak berdekatan dengan simpang masuk ke Kompleks Hamidah di Desa Indah 3, Tudan, beliau mengakui, api yang marak agak besar, tambahan pula berhampiran dengan kawasan perumahan dan kompleks kediaman anak-anak yatim.  

Manakala ‘hotspot’ ketiga pula berdekatan kawasan perumahan Desa Murni.

“Kalau kita dapat padamkan ketiga-tiga ‘hotspot’  ini, maka kita dapat memadamkan punca api dan mengawalnya daripada terus merebak.

“Sekarang apa yang tinggal cuma bekas-bekas terbakar dan meninggalkan asap tebal.

“Apa yang kami risau ialah asap-asap ini yang akan mengakibatkan jerebu,” katanya.

“Harap-harap dalam dua tiga hari ini, asap ini akan terus berkurangan kerana bahan bakar (punca) semakin berkurangan terutama apabila ia sampai ke laluan benteng penghalang api atau ‘fire break’ kita,” tambahnya.

Mengenai keadaan jerebu yang teruk di sepanjang laluan menuju ke Kuala Baram dan ke sempadan di Brunei, Law berkata jarak penglihatan agak kurang disebabkan asap tebal kerana api di sepanjang jalan berkenaan masih lagi aktif.

“Kepada pengguna yang menggunakan laluan di sepanjang Jalan Bypass Miri-Kuala Baram ini, berhati-hatilah dan jangan memandu dengan laju, kerana asap agak tebal,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement