Anda di sini

Bas ekspres terbabas, empat penumpang cedera

 Sebuah bas ekspres Kota Kinabalu-Tawau terbabas dan terbalik di Batu 15 Jalan Apas Tawau.
TERBABAS: Sebuah bas ekspres Kota Kinabalu-Tawau terbabas dan terbalik di Batu 15 Jalan Apas Tawau.

TAWAU: Sebuah bas ekspres Kota Kinabalu-Tawau yang berkapasiti 35 penumpang terbabas dan terbalik di Batu 15 Jalan Apas di sini, kira-kira jam 5 pagi Selasa.

Kejadian itu mengakibatkan empat penumpang termasuk seorang wanita yang berumur 30 hingga 66 tahun mengalami kecederaan, manakala selebihnya tidak cedera.

Kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menyebut panggilan kecemasan kemalangan itu diterima pada jam 5.15 pagi.

Sebuah jentera kecemasan FRT dan sebuah EMRS dengan kekuatan enam anggota yang diketuai Komander Operasi Zourgarana Konin diarahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Tujuh mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan berjaya keluar dari bas ekspres itu sendiri sebelum ketibaan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daerah.

Rawatan awal diberikan oleh pasukan perubatan dan EMRS sebelum dihantar ke hospital dengan ambulan dan EMRS, manakala operasi di lokasi ditamatkan pada jam 6.21 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata kemalangan berlaku semasa bas ekspres terbabit menuju ke Terminal Bas di Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas.

“Kejadian berlaku ketika hujan lebat apabila pemandu, 54, hilang kawalan pemanduan terhadap bas ekspres itu semasa melalui satu kawasan selekoh sebelum terbabas sendiri.

“Pengangkutan awam terbabit terlanggar pembahagi jalan serta dua tiang elektrik di tepi jalan serta terseret kira-kira 20 meter dan terbalik di tengah pembahagi jalan,” katanya.

Katanya, dua daripada mangsa cedera di kepala, tangan kanan salah seorang mangsa terseliuh dan seorang lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan tulang belakang.

Peter berkata ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati air kencing pemandu bas ekspres berkenaan sebagai negatif dadah.
 
“Siasatan kes kemalangan ini diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikendalikan Pegawai Penyiasat Insp Hamka Ab Rashid,” katanya.