
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib menyempurnakan Korban Perdana Majlis Islam Sarawak 2019 di Dewan HIKMAH di sini, semalam.
Program anjuran Majlis Islam Sarawak itu dimulakan dengan acara penyembelihan lembu korban.
Sebanyak empat ekor lembu sumbangan Majlis Islam Sarawak dikorbankan dan seterusnya diagihkan kepada masyarakat kurang bernasib baik di sekitar kawasan Samariang dan Petra Jaya.


Seramai 31 golongan asnaf dan Unit Saudara Kita (USK) menerima agihan daging korban yang disampaikan Tun Taib dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib pada majlis itu.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datin Pa-tinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha serta tetamu kehormat lain.
Terdahulu, Tun Taib bersama Abang Johari menunai-kan solat sunat sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Jamek Negeri Sarawak pagi semalam.
Dianggarkan lebih 5, 000 umat Islam di bandar raya ini menunaikan solat sunat itu yang sudah mula memenuhi masjid seawal jam 7.30 pagi.
