Anda di sini

Sarawak mohon pembenihan awan di kawasan terjejas teruk

Advertisement
Orang awam menggunakan penutup muka akibat jerebu yang melanda Miri 

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengeluarkan Notis Pemberitahuan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melaksanakan pembenihan awan di kawasan Miri, Kuala Baram, Sibu dan Sri Aman.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan hari ini, pemohonan itu dibuat susulan situasi jerebu di empat kawasan terbabit.

Dedahnya, di Miri bacaan yang tinggi pada paras bahaya direkodkan dari stesen Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 manakala stesen ILP Miri pula mencatatkan bacaan pada paras sangat tidak sihat.

Malah, jelas JAS lagi, Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan pada hari ini setakat pukul 3 petang menunjukkan satu kawasan merekodkan bacaan pada paras bahaya iaitu 342 di SK Kuala Baram 2.

Pemandangan yang dicemari jerebu di Jalan Bypass Miri-Kuala Baram
Pemandangan yang dicemari jerebu di Jalan Bypass Miri-Kuala Baram

"Satu kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat iaitu di Stesen ILP Miri dengan bacaan 297, dua stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu stesen Sibu dan Sri Aman manakala baki 9 stesen lagi menunjukkan bacaan pada tahap sederhana," katanya.

Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 11 Ogos 2019, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)-19, mengesan 56 titik panas (hotspot) di Kalimantan, 2 titik panas (hotspot) dikesan di Sumatera, Indonesia dan 4 titik panas (hotspot) dikesan iaitu 2 di Miri dan 1 di Sibu serta Kapit, Sarawak.

Sehubungan itu, JAS menasihati orang ramai untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan lagi kualiti udara dan menyebabkan jerebu bertambah buruk.
 
Selain itu bagi kawasan yang terjejas teruk penutup hidung dan mulut hendaklah dipakai bagi mengelakkan kesihatan dan pernafasan mereka dari terjejas.
 

Advertisement