Anda di sini

Sarawak diramal menerima kurang hujan hingga Oktober

Advertisement
Pemandangan di Jalan Bypass Miri-Kuala Baram hari ini.

KUCHING: Sarawak diramal mengalami monsun barat daya yang kering sehingga awal Oktober depan.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Negeri Sarawak Wong Teck Kiong berkata bagaimanapun Sarawak masih menerima hujan di satu dua tempat sepanjang tempoh tersebut.

"Kami meramal angin monsun barat daya yang berlaku akan beransur pulih menjelang tengah minggu depan dan monsun berhenti seketika kerana kita akan mendapat lebih banyak hujan.

"Bagaimanapun secara keseluruhannya Sarawak masih mengalami musim kering atau lebih tepat menerima kurang hujan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wong juga memberitahu jerebu yang melanda Sarawak ketika ini berpunca daripada tiupan angin monsun barat daya iaitu dari Kalimantan ke negeri ini.

"Lazimnya angin yang tertiup dari barat daya iaitu Kalimantan membawa jerebu ke Sarawak," ujarnya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi Negeri Sarawak yang turut dihubungi berkata keadaan cuaca kering dilanda negeri ini akan pulih pada awal Oktober depan apabila berlakunya peralihan monsun kerana Sarawak akan menerima lebih banyak hujan.

"Apabila peralihan monsun berlaku, lazimnya Sarawak tidak akan mendapat kesan atau jerebu walaupun ada pembakaran terbuka di Kalimantan," katanya.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada pukul 5 petang hari ini hanya SK Kuala Baram 2 (MCAQM) mencatatkan bacaan berbahaya iaitu 353 manakala ILP Miri 299 (sangat tidak sihat), Sibu dan Sri Aman tidak sihat dengan bacaan IPU 179 dan 108 masing-masing.

Sembilan lagi  kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana Limbang (56), Miri (94), Samalaju (75),Bintulu (84), Mukah (84),Kapit (64), Sarikei (99), Samarahan (82) dan Kuching (81).

Setakat pukul 5 petang hari ini juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak merekodkan 334 kes pembakaran terbuka atau tanah gambut melibatkan kawasan seluas 772 ekar dari 1 Ogos hingga hari ini.

Hari ini sahaja JBPM Sarawak merekodkan 38 kes pembakaran terbuka atau tanah gambut di negeri ini.

JBPM Sarawak juga merekodkan dua rumah terjejas akibat kebakaran belukar/hutan iaitu di Kampung Sangki, Simunjan dan Kampung Sedi, Pulau Bruit.

Secara purata, JBPM Sarawak memberi maklum balas kepada 27 kes sehari dengan jumlah terbanyak direkodkan pada Sabtu lepas iaitu 58 kes.

  • oleh
  • Advertisement