Anda di sini

Sarawak beri bantuan khas untuk ibu selepas bersalin tahun depan

Advertisement


 

KUCHING: Kerajaan negeri akan memberi bantuan khas kepada kira-kira 40,000 ibu yang melahirkan anak tahun hadapan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagaimanapun buat masa ini jumlah itu masih belum ditentukan dan perincian mengenai bantuan itu akan diumumkan pada pembentangan Bajet Negeri 2020 November ini.

Beliau berkata, bantuan itu akan diberikan kepada semua ibu di negeri ini termasuk ibu yang bekerja, suri rumah dan yang memerlukan bantuan.

"Tahun ini saya akan umumkan bantuan khas kepada semua ibu yang melahirkan anak. Kita mengganggarkan 40,000 ibu akan menerima bantuan ini berdasarkan purata kelahiran 40,000 setahun di Sarawak.

"Jumlah bantuan ini akan saya umumkan nanti dalam Bajet Negeri hujung tahun ini kerana kita sekarang masih membuat pengiraan berapa jumlah yang sepatutnya kita berikan," ujarnya ketika ditemui media pada majlis Ibadah Korban N8 Satok anjuran Biro Agama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok di Kompleks Sukan Satok, Padang Slps di sini, hari ini.

Abang Johari ketika ditemui pemberita hari ini. 

Abang Johari memberitahu, Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberikan bantuan itu sebagai meringankan beban dalam kos penjagaan ibu dan bayi lepas bersalin termasuk pembelian lampin dan sebagainya.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri memberi Endowment Fund Sarawak (EFS) sebanyak RM1,000 kepada setiap bayi yang lahir di Sarawak tahun ini.

"Sehubungan itu, tahun ini dalam Bajet Negeri nanti, saya akan tambahkan lagi satu bantuan khas kepada ibu yang menghadapi masalah (kewangan) apabila melahirkan anak disebabkankos sara hidup yang meningkat.

" Ia bukan EFS tapi bantuan khas kepada golongan ibu ini kerana ada ibu yang bekerja bergaji hari tidak dibayar gaji bulanan sepanjang cuti bersalin. Jadi, ini akan menjadi bebanan kepada mereka. 

"Insya-Allah saya akan mempunyai satu dasar untuk membantu ibu-ibu  tidak kira sama ibu yag bekerja mahupun tidak bekerja," ujarnya.

Abang Johari mengagihkan daging korban kepada penerima pada majlis Ibadah Korban N8 Satok anjuran Biro Agama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kompleks Sukan Satok, Padang Slps hari ini. Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari mengagihkan daging korban kepada penerima pada majlis Ibadah Korban N8 Satok anjuran Biro Agama PBB di Kompleks Sukan Satok, Padang Slps hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu Kerajaan Negeri merancang menubuhkan sekolah khas untuk anak-anak yang mempunyai masalah autisme dan ketidakupayaan pembelajaran lain.

"Saya sudah menugaskan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komunti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah untuk membuat laporan termasuk kepakaran mengajar yang diperlukan untuk mewujudkan sekolah ini.

"Malah, saya telah pun menghantar Fatimah ke Austaralia bagi tujuan tersebut dan selepas kajian dibuat, mungkin kita dapat mewujudkan sekolah khas untuk anak-anak yang menghadapi masalah tersebut," ujarnya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Sarawak turut mempertimbangkan untuk menghantar guru ke Australian untuk dilatih bagi memperkasakan kemahiran dan kepakaran untuk mengendalikan anak-anak yang mempunyai sifat sedemikan.

Pada majlis itu, Abang Johari mengagihkan daging korban kepada 210 penerima di kawasan Satok.
 

  • oleh
  • Advertisement