Anda di sini

Promosi Malaysia melalui makanan

Advertisement

BEIJING: Hasrat memperkenalkan makanan Asia Tenggara terutamanya dari Malaysia ke seluruh dunia mendorong anak kelahiran Sarawak mengorak langkah berani dengan membuka Restoran Mulu di Beijing.

Jasmine Kho, 32, berkata ini adalah sebahagian usahanya dalam memperkenalkan budaya Malaysia khususnya kepada rakyat China.

“Idea ini tercetus 10 tahun lepas apabila ramai rakan saya di sini (Beijing) tidak begitu mengenali budaya dan tarikan Asia Tenggara. Namun setelah memperkenalkan mereka dengan budaya Malaysia, mereka begitu tertarik dengannya terutama pada makanan negara kita.

“Daripada situ, saya terpanggil untuk mempromosikan Asia Tenggara terutamanya Malaysia melalui makanan. Maka lahirnya Restoran Mulu pada tahun 2013,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengambil masa lima minit berjalan kaki dari Stesen Subway Wangfujing, Restoran Mulu yang terletak di pusat beli-belah WF Central sememangnya mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan serta masyarakat antarabangsa termasuk rakyat Malaysia, Vietnam, Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Jasmine berkata antara makanan yang paling mendapat sambutan di restorannya adalah Laksa Sarawak yang menggunakan resepi istimewa yang diwarisi daripada neneknya.

“Selain Laksa Sarawak, kita juga ada Cendol Durian, Char Kuey Teow Penang, rendang ayam, nasi lemak, sate dan beberapa jenis makanan popular lain dari Thailand, Indonesia, Kemboja, Vietnam dan Laos,” katanya.

 Anak kelahiran Kuching itu menamakan restorannya di Beijing sedemikian sempena kawasan gunung batu kapur Mulu yang diiktiraf sebagai salah satu Warisan Dunia yang terletak di Miri, Sarawak iaitu Taman Negara Mulu.

“Sebagai anak Sarawak, Gunung Mulu amat dekat dengan hati saya, daripada segi bentuk geografinya yang merupakan gua batu kapur dengan dilitupi oleh hutan dara tropika sememangnya memukau sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki di sana.

“Disebabkan itu, seni reka dalaman restoran ini turut menampilkan konsep yang menggabungkan ciri keindahan Gunung Mulu serta corak batik Sarawak. Ramai pelanggan yang berminat dengan budaya kita, ia sekali gus mempromosi Malaysia seiring Tahun Melawat Malaysia 2020,” kata Jasmine yang turut merancang untuk menjadikan Restoran Mulu sebagai rangkaian francais di China. — Bernama

Advertisement