Anda di sini

Pelakon sindrom Down beri inspirasi dan bintangi filem Hollywood

Advertisement
 Penulis dan pengarah Tyler Nilson, Zack Gottsagen, Shia LeBeouf dan penulis dan pengarah Michael Schwartz semasa tiba di tayangan filem ‘The Peanut Butter Falcon’ di Los Angeles baru-baru ini. — Gambar Reuters
BERI INSPIRASI: Penulis dan pengarah Tyler Nilson, Zack Gottsagen, Shia LeBeouf dan penulis dan pengarah Michael Schwartz semasa tiba di tayangan filem ‘The Peanut Butter Falcon’ di Los Angeles baru-baru ini. — Gambar Reuters

FILEM baharu yang dipuji oleh pengkritik ‘The Peanut Butter Falcon’ mengambil laluan yang luar biasa ke Hollywood dan telah menjadikan Zack Gottsagen, seorang pelakon yang mengalami sindrom Down, bintang yang tidak dijangkakan.

Gottsagen membawa watak utama seorang pemuda yang lari dari rumah penjagaan di mana dia tinggal demi mengejar impiannya untuk menjadi seorang ahli gusti profesional.

Dalam perjalanannya, dia berkawan dengan seorang penjenayah kecil-kecilan lakonan bintang ‘Transformers’ Shia LaBeouf. Dakota Johnson turut berlakon sebagai seorang jururawat yang dihantar untuk mencari watak Gottsagen.

Ia merupakan sebuah dari beberapa buah filem Hollywood yang memaparkan seorang pelakon dengan sindrom Down dalam watak utama.

Sewaktu tayangan perdana permaidani merah bagi filem tersebut, penulis dan pengarah bersama Tyler Nilson dan Michael Schwartz berkata mereka mengenali Gottsagen ketika mereka menjadi sukarelawan di sebuah kem bagi orang dengan kelainan upaya dan Gottsagen berkata dia mahu menjadi seorang bintang filem.

Kedua-dua mereka, yang pernah membuat sebuah filem pendek dan mengusahakan iklan tetapi tidak pernah menerbitkan sebuah filem cereka, memutuskan untuk menulis sebuah filem yang boleh dibintangi Gottsagen.

“Kami duduk selama setahun dan mengusahakan skrip dan cuba membina sesuatu yang akan menunjukkannya dalam cahaya sebaik mungkin bagi siapa dirinya, seorang manusia dengan harapan dan impian dan matlamat yang mempunyai keupayaan untuk mengasihi dengan jauh lebih mendalam lagi berbanding saya,” kata Nilson.

Filem itu telah menawan pengkritik, malah memperolehi penarafan positif 100 peratus dalam laman sesawang agregasi reviu, Rotten Tomatoes. Ia akan dikeluarkan di Amerika Syarikat pada 9 Ogos.

LaBeouf dan Johnson berkata mereka telah membentuk hubungan kekeluargaan dengan Gottsagen.

“Dia umpama penjaga bagi saya,” kata LaBeouf. “Dia telah menjadi tonggak dalam hidup saya. Dia mengapungkan saya dan memberikan saya banyak nasihat.”

Di tayangan perdana berkenaan, Gottsagen ada nasihat untuk orang lain yang mahu mengikuti contohnya.

“Ikutilah hati anda dan ikutilah impian anda,” katanya. “Tetapi terlebih dahulu, anda harus kekal di sekolah, belajar, belajar banyak-banyak.”

Selepas itu, “gapai puncak dan anda boleh menjadi besar”, tambahnya. — Reuters

Advertisement