Anda di sini

Lewinsky jadi penerbit musim ketiga ‘American Crime Story’

Advertisement
LEWINSKY
LEWINSKY

MONICA Lewinsky akan menerbitkan sebuah siri jenayah benar yang besar tentang prosiding pendakwaan terhadap bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Bill Clinton dan dijadual akan ditayangkan hanya beberapa minggu sahaja sebelum pilihan raya 2020, kata rangkaian FX baru-baru ini.  

Musim ketiga bagi francais ‘American Crime Story’ (ACS) akan mendramakan peristiwa yang menyaksikan Lewinsky, pelatih White House, dan dua wanita lain “terjebak … dalam prosiding pendakwaan pertama di negara itu dalam tempoh lebih sedekad”, FX menyebut dalam satu kenyataan.

Ia menyusuli dua musim pertama ACS terbitan rangkaian tersebut, yang masing-masing menceritakan tentang perbicaraan O.J. Simpson dan pembunuhan Gianni Versace, dan sama-sama memenangi banyak anugerah – dan mengundang kontroversi yang agak panas.

Pengumuman mengenai musim tiga segera mencetuskan keributan dalam media sosial, di mana ramai pengguna mendakwa fokus baharu kepada skandal seks yang hampir menggulingkan seorang presiden Demokrat akan memanfaatkan penyandang Republikan Donald Trump.

Sementara itu, sokongan Demokrat bagi prosiding pendakwaan terhadap Trump semakin meningkat, dengan lebih separuh ahli-ahli Demokrat dalam Dewan sekarang menyokong prosedur tersebut, kiraan media menunjukkan pada minggu lepas.

“Orang dijangka akan sangat berminat dengan perkara ini sekitar pilihan raya presiden dan ia dijangka akan menjadi sebuah siri yang hebat,” kata ketua FX di satu perhimpunan pengkritik televisyen di Los Angeles, menurut Deadline.

“Saya tidak percaya ia akan menentukan siapa yang akan menjadi presiden Amerika Syarikat seterusnya,” tambahnya dalam reaksi kepada kritikan yang pantas.

Lewinsky menyebut dalam satu kenyataan kepada Vanity Fair bahawa dia pada mulanya “lebih daripada takut sedikit” untuk menyertai projek itu, tetapi pada akhirnya memutuskan untuk menyertainya bagi “menuntut semula naratif (dia) sepenuhnya”.

“Saya begitu syukur bagi perkembangan yang kita sudah capai sebagai sebuah masyarakat yang membolehkan orang seperti saya yang disenyapkan dari segi sejarah untuk pada akhirnya memperkenalkan semula suara saya kepada perbualan,” katanya, yang merujuk kepada pergerakan #MeToo menentang gangguan seksual yang hangat.

“Orang berkuasa, selalunya lelaki,  mengambil kesempatan ke atas orang bawahan mereka dalam pelbagai cara sepanjang masa,” kata Lewinsky, yang memerhatikan “naratif ini adalah naratif yang malangnya adalah malar segar.”

Siri terbaharu dalam francais terbitan Ryan Murphy ini akan dibintangi Sarah Paulson sebagai Linda Tripp, yang membuat pendedahan mengenai hubungan sulit Lewinsky dengan Clinton.

Watak Lewinsky akan dibawakan oleh Beanie Feldstein manakala Annaleigh Ashford akan berlakon sebagai Paula Jones, yang menyaman Clinton bagi gangguan seksual.

Ia akan ditayangkan pada 27 September tahun depan. Pilihan raya AS dijadualkan pada 3 November.

Siri terhad itu dibuat berdasarkan buku Jeffrey Toobin ‘A Vast Conspiracy: The Real Story of the Sex Scandal That Nearly Brought Down a President’.

Musim kedua ACS, yang menceritakan tentang pembunuhan Versace pada 1997, ditepis oleh keluarganya sebagai sebuah “karya fiksyen”.

Keluarga itu menyebut dalam satu kenyataan bahawa mereka “tidak pernah meluluskan mahupun mempunyai sebarang pembabitan” dalam siri itu dan khususnya berang mengenai dakwaan bahawa Versace positif HIV.

Dua siri pertama memenangi sebanyak 16 anugerah Emmy. Penerbitan bagi musim tiga akan bermula pada Februari. — AFP

Advertisement