Anda di sini

Ketegangan As-China dijangka beri kesan terhadap ringgit

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kekal pada aliran menurun minggu ini, selari dengan prestasi kebanyakan mata wang Asia berikutan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka terus melemahkan aset berisiko.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata data inflasi, jualan runcit, dan pengeluaran perindustrian AS yang dijangka dikeluarkan pada minggu depan mungkin dapat membantu mencorakkan prospek dasar monetari negara itu, memandangkan dolar AS cenderung untuk mengalihkan jangkaan pasaran terhadap penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan seterusnya.

“Pengumuman pengeluaran industri dan jualan runcit China bagi Julai juga boleh mempengaruhi kedudukan sentimen yang menyelubungi aset-aset Asia, mengambil kira pergantungan keseluruhan rantau itu kepada China,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel.

Tan berkata paras rintangan 4.20 kekal menjadi paras rintangan psikologi penting bagi mata wang tempatan minggu ini, sementara paras di bawah 4.16 boleh memberikan sokongan lebih kukuh pada pergerakan kedua-dua mata wang bagi tempoh 50 hari pada purata 4.14.

Di peringkat tempatan, laporan inflasi Malaysia pada Julai dan pengumuman keluaran dalam negara kasar pada suku kedua yang dijangka dikeluarkan minggu ini dijangka akan dimasukkan dalam unjuran dasar Bank Negara.

“Dengan beberapa bank pusat serantau baru-baru ini mengumumkan pengurangan kadar lebih tinggi daripada jangkaan, kalangan pembuat dasar Asia dilihat lebih ketara untuk cenderung mengurangkan kadar, terutamanya berikutan prospek pertumbuhan global yang semakin merosot,” katanya.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit jatuh 0.29 peratus ke paras terendah dalam tempoh lebih dua bulan berbanding dolar AS berikutan pelabur terus bimbang dengan ketegangan perdagangan AS-China yang semakin meruncing.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit turun kepada 4.1830/1860 berbanding dolar AS daripada 4.1550/1600 pada Jumaat sebelumnya.

Mata wang tempatan juga didagangkan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0259/0285 daripada 3.0168/0215 pada Jumaat sebelumnya, susut berbanding yen kepada 3.9522/9561 daripada 3.8864/8922, jatuh berbanding euro kepada 4.6858/6908 daripada 4.6104/6176 dan turun berbanding pound kepada 5.0652/0705 daripada  5.0379/0457 sebelumnya.

Pasaran ditutup pada Isnin sebagai cuti ganti bersempena Aidiladha yang disambut pada Ahad. — Bernama

Advertisement