Anda di sini

Kematian Epstein dalam penjara cetus kemarahan, FBI lancar siasatan

Advertisement
EPSTEIN
EPSTEIN

NEW YORK: Pakar kewangan Amerika Syarikat (AS) Jeffrey Epstein, yang menunggu perbicaraan atas tuduhan memerdagangkan gadis-gadis bawah umur untuk seks, dijumpai mati dalam penjara kelmarin dipercayai membunuh diri, seterusnya mencetuskan kemarahan berhubung bagaimana suspek berprofil tinggi itu dapat mati dalam tahanan.  

Kerajaan dan FBI (Biro Siasatan Persekutuan) segera melancarkan siasatan manakala ahli politik, pegawai penguatkuasaan undang-undang dan mangsa berkata mereka terkejut kerana Epstein dapat membunuh diri sedangkan cubaannya untuk membunuh diri yang dilaporkan baru-baru ini sepatutnya bermakna dia telah diletakkan dalam pemerhati-an yang ketat.

Epstein, seorang pedofil yang disabit kesalahan dan selama bertahun-tahun bersahabat dengan ramai ahli politik dan selebriti, dijumpai dalam keadaan tidak responsif dalam selnya sekitar jam 6.30 pagi (waktu tempatan) di penjara Metropolitan Correctional Centre, New York, “dipercayai kerana membunuh diri”, kata Jabatan Keadilan AS.

Dia disahkan mati di sebuah hospital.

Peguam Negara AS Bill Barr berkata dia “terkejut” dan mengarahkan inspektor jeneral Jabatan Keadilan menyiasat keadaan di sebalik kejadian itu.

“Kematian Encik Epstein menimbulkan persoalan serius yang mesti dijawab,” kata Barr.

FBI juga sedang menyiasat, kata Jabatan Keadilan.

Akhbar The New York Times dan media lain melaporkan Epstein menggantung diri. Pejabat pe-meriksa perubatan bandar raya tidak mengesahkan punca kematian.

Pada 23 Julai lalu, pedofil berusia 66 tahun itu dijumpai dalam keadaan tidak sedar diri dengan tanda pada lehernya.

Dia diletakkan dalam pe-ngawasan bunuh diri selama enam hari sebelum dikem-balikan ke selnya di bahagian kawalan keselamatan ketat di penjara berkenaan, akhbar New York Times melaporkan.

Kematiannya berlaku sehari selepas sebuah mahkamah di New York mengeluarkan dokumen undang-undang tertutup yang memberi maklumat baharu tentang apa yang didakwa oleh pendakwa sebagai operasi pemerdaga-ngan seks yang dijalankan oleh Epstein.

Epstein kali terakhir tampil di mahkamah pada 31 Julai lalu apabila seorang hakim memberitahunya bahawa perbicaraannya tidak akan bermula sebelum Jun tahun depan.

Pengurus dana lindungan yang kaya itu telah didakwa dengan satu tuduhan memperdagangkan remaja untuk seks dan satu tuduhan berkonspirasi untuk melakukan pemerdagangan seks melibatkan remaja.

Epstein, yang menafikan tuduhan tersebut, berdepan dengan hukuman penjara selama 45 tahun – baki hidupnya – jika disabit kesalahan.

Penjara Metropolitan Correctional Center, sebuah kemudahan persekutuan di Manhattan yang sering me-nempatkan suspek yang me-nunggu atau sedang meng-hadapi perbicaraan, dianggap sebagai antara penjara paling selamat di AS.

Pengedar dadah yang kejam dari Mexico Joaquin ‘El Chapo’ Guzman menghabiskan masa lebih dua tahun di sana sebagai banduan.

“Kami memerlukan jawapan. Banyak jawapan,” tweet Ahli Kongres New York       Alexandria Ocasio-Cortez.

Senator Republikan Ben Sasse, yang mengetuai jawatankuasa pengawasan kehakiman Senat, berkata kerajaan “sekali lagi” mengecewakan mangsa-mangsa Epstein.

Dokumen mahkamah tertutup sebelum ini setebal dua ribu muka surat yang dikeluarkan Jumaat lepas fokus kepada keterangan seorang wanita yang mendakwa dia adalah “hamba seks” Epstein.

Virginia Giuffre, sekarang sudah dewasa, mendakwa dia dipaksa melakukan perbuatan seks dengan personaliti perniagaan dan politik yang terkenal di Amerika. Semua mereka menafikan dakwaan tersebut.

Pendakwa berkata Epstein mengambil kesempatan seksual ke atas puluhan gadis bawah umur, ada yang semuda 14 tahun, di kediamannya di Manhattan dan Palm Beach, Florida, antara 2002 hingga 2005.

Mereka mendakwa Epstein “amat menyedari bahawa ramai mangsa adalah remaja bawah umur”.

Gadis-gadis terbabit dibayar ratusan dolar dalam wang tunai untuk mengurutnya, melakukan perbuatan seks dan merekrut gadis lain, dakwa pendakwa.

Epstein didakwa mempu-nyai ramai pengambil rekrut, biasanya tidak begitu tua daripada sasaran mereka, yang akan mencari remaja yang lemah.

Epstein, dengan rakan-rakan seperti Presiden Do-nald Trump, bekas presiden Bill Clinton dan Putera An-drew dari Britain, pernah disabit kesalahan dahulu atas tuduhan membayar gadis muda untuk urutan seksual di rumah agamnya di Paul Beach.

Semua mereka menafikan tahu-menahu tentang jenayah yang didakwa dilakukan oleh Epstein. — AFP

Advertisement