Anda di sini

Taufan kuat Lekima membadai tenggara China

Advertisement
 Ombak membadai dinding penghadang yang berada di hadapan bangunan di Taizhou, wilayah Zhejiang timur China kelmarin.— Gambar AFP
TERJEJAS: Ombak membadai dinding penghadang yang berada di hadapan bangunan di Taizhou, wilayah Zhejiang timur China kelmarin.— Gambar AFP

SHANGHAI: Taufan kuat Lekima telah membadai ke bahagian tenggara China pada awal semalam, membawa bersama hujan lebat dan angin kuat yang telah menumbangkan tiang elektrik dan ribuan pokok serta memaksa lebih dari sejuta orang meninggalkan kediaman mereka, lapor media negara.

Ribut gergasi yang melanda pada awal pagi di Bandar Wenling membawa angin sekuat 187 kilometer sejam, dan telah dijangka akan menuju ke pantai timur ke arah Shanghai, menurut agensi berita Xinhua.

Lebih banyak hujan lebat telah diramalkan bagi kawasan Shanghai termasuk di wilayah timur seperti Anhui, Fujian, Jiangsu dan Zhejiang, dengan pihak berkuasa  memberikan amaran mengenai kemungkinan banjir kilat, gelongsoran lumpur dan tanah runtuh akibat hujan lebat.

Di wilayah Zhejiang sahaja, hampir 300 penerbangan telah dibatalkan, dan perkhidmatan feri dan kereta api telah ditangguhkan sebagai satu langkah berhati-hati.

Lebih suku dari sejuta orang telah ditempatkan semula di Shanghai, di mana kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan bandar dengan salah satu dari lapangan terbangnya telah ditangguhkan.

Lebih dari 110,000 orang ditempatkan di rumah penempatan sementara.

China mengeluarkan satu amaran merah ketika ribut menghampiri kelmarin, sebelum menurunkan paras kepada jingga apabila angin mulai reda pada pagi semalam.

Ribut pada mulanya telah melalui hujung utara Taiwan kelmarin, menyebabkan sembilan tercedera, ribuan rumah terputus bekalan elektrik buat sementara waktu dan lebih dari 500 penerbangan telah dibatalkan.

Pada September lepas, Taufan Mangkhut telah melanda tanah besar China di mana pihak berkuasa telah memindahkan lebih dari dua juta penduduk, selepas ia meninggalkan satu kesan kemusnahan di Hong Kong dan Macau serta mengorbankan sekurang-kurangnya 59 orang di utara Filipina. — AFP

Advertisement