Anda di sini

Projek kereta terbang tidak libat perbelanjaan kerajaan

 Mohd Redzuan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada Majlis Pelancaran Kohort Ketiga Program Pemacu Global di Pusat Inovasi Dan Kreativiti Malaysia, semalam. — Gambar Bernama
BINCANG: Mohd Redzuan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada Majlis Pelancaran Kohort Ketiga Program Pemacu Global di Pusat Inovasi Dan Kreativiti Malaysia, semalam. — Gambar Bernama

CYBERJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menegaskan bahawa projek kereta terbang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan sebaliknya ia adalah dasar kerajaan dalam menggalakkan budaya inovasi untuk berkembang dalam kalangan rakyat.

Malah, beliau berkata projek kereta terbang pertama negara masih dalam peringkat sedang dibangunkan dan dijangka akan dipamerkan pada tahun ini.

“Satu bentuk perniagaan bermula daripada hobi. Negara-negara lain sudah pun maju ke depan dan saya tiada masalah jika ia dikatakan sebagai hobi sebab ia tidak melibatkan satu sen pun perbelanjaan kerajaan. Tetapi, ini adalah permintaan daripada golongan yang mahu bergiat dalam industri ini.

“Kita sebagai kerajaan bertanggungjawab untuk mereka agar diberi ruang untuk berkecimpung dalam industri ini walaupun ia adalah hobi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kohort ketiga Program Pemacu Global di sini kelmarin.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz yang didakwa tidak bersetuju dengan idea projek kereta terbang yang dianggap tidak sepatutnya diangkat sebagai projek nasional, sebaliknya hanya hobi peribadi.

Mohd Redzuan berpendapat Rafidah kurang faham mengenai hasrat Kementerian Pembangunan Usahawan untuk membangunkan industri kereta terbang tempatan di negara ini.

“Kalau kita buat apa sekalipun, kita kena bermula perniagaan itu dengan bentuk hobi.

“Tetapi hobi itu tidak boleh dikembangkan sekiranya kita tidak mewujudkan ruang, ekosistem dan undang-undang untuk merancakkan lagi hobi itu yang boleh menjadi perusahaan,” katanya. — Bernama