Anda di sini

22 maut tanah runtuh di Timur Myanmar, ramai masih hilang

Advertisement
 Pasukan penyelamat membawa mayat mangsa tanah runtuh di pekan Paung semalam. — Gambar AFP
USAHA MENCARI: Pasukan penyelamat membawa mayat mangsa tanah runtuh di pekan Paung semalam. — Gambar AFP

MAWLAMYINE: Sekurang-kurangnya 22 terkorban ketika satu kejadian tanah runtuh berpunca dari hujan monsun melanda sebuah kampung di timur Myanmar, ketika pekerja kecemasan meneruskan usaha mencari semalam bagi beberapa orang lagi yang dikhuatiri hilang.

Satu kesan coklat yang besar di tepi bukit menandakan limpahan lumpur menuruni perkampungan Thae Pyar Kone di wilayah Mon kelmarin, menimbus sebanyak 16 rumah dan sebuah biara.

Pasukan pencari dan penyelamat berusaha sepanjang malam cuba untuk mencari mangsa masih hidup dan menemui mayat dari dalam selut yang dalam.

“Setakat ini kami telah menemui 22 mayat dan 47 orang yang tercedera,” kata pegawai tadbir tempatan Myo Min Tun.

Pihak berkuasa mempercayai lebih dari 100 orang mungkin masih lagi hilang.

Gambar yang diambil dari udara menunjukkan bahagian atas bumbung yang pecah dan serpihan lain dari rumah yang terletak bersebelahan dengan beberapa trak yang tumbang kesan gelongsoran lumpur yang kuat.

Htay Htay Win, 32, memberitahu AFP dua anak perempuannya dan lima ahli keluarga lain masih belum ditemui.

“Saya  mendengar satu bunyi bising yang kuat dan berpaling untuk melihat rumah saya telah ditimpa oleh lumpur,” jelas beliau, sambil menangis.

Para pekerja penyelamat menghabiskan masa tengah hari semalam memunggah mayat-mayat yang dibaluti dengan plastik ke bahagian belakang sebuah trak ketika penduduk kampung yang kebimbangan hanya mampu melihat sahaja.

Kakitangan kecemasan terpaksa membersihkan lebuh raya utama dari Yangon ke Mawlamyine, yang tertimbus di bawah selut setinggi enam kaki.

Hujan lebat telah menyebabkan tebingan sungai melimpah di seluruh negara ketika komuniti pantai telah diberikan amaran mengenai ombak yang lebih tinggi.

Di pekan Shwegyin di wilayah timur Bago, para penduduk mendayung menyusuri air setinggi paras pinggang atau menunggu bagi diselamatkan oleh bot selepas sungai Sittaung melimpah dari tebingnya, menenggelami keseluruhan rumah.

Kira-kira 89,000 orang telah ketiadaan tempat tinggal akibat banjir sejak beberapa minggu lepas, walaupun ramai yang mungkin telah dapat pulang semula ke rumah, menurut Pejabat bagi Penyelenggaraan Hl Ehwal Kemanusiaan di PBB.

Vietnam turut mengalami banjir teruk pada minggu ini dengan sekurang-kurangnya lapan terbunuh di tanah tinggi pusat di negara ini dan anggota penyelamat menggunakan sebuah ‘zipline’ bagi membawa beberapa orang ke tempat yang selamat. — AFP

Advertisement