Anda di sini

Tiada lesen dikeluarkan untuk Fingo jalankan MLM secara atas talian

Advertisement
Chong Chieng Jen
Chong Chieng Jen

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak mengeluarkan lesen kepada Fingo (M) Sdn Bhd untuk menjalankan perniagaan pemasaran jualan langsung (MLM) secara atas talian. 

Tegas timbalan menterinya Chong Chieng Jen, kementerian hanya mengeluarkan lesen jualan langsung kepada syarikat tersebut untuk memasarkan lima produk mereka menerusi kaedah konvensional dan tradisional. 

Lima produk tersebut ialah An-Nur Agar Shampoo, Sucian Dara, Sniper, 9030 Mix Honey with Cordyceps dan Lunia Bird Nest Ess Facial Mask. 

“Dibawah terma dan syarat lesen jualan langsung, syarikat tersebut tidak dibenarkan untuk memasarkan lima produk diatas menerusi platform atas talian melainkan dibenarkan oleh kontroller untuk berbuat demikian. 

“Setakat ini tidak ada kebenaran diberikan kepada syarikat tersebut,”katanya pada sidang media berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini. 

Tambah Chong, setakat ini kementerian telah menerima lima aduan bahawa syarikat tersebut mempromosikan applikasi atau platform e-dagang mereka dalam kaedah menyerupai kaedah jualan langsung. 

Justeru katanya siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh kementerian ke atas operasi perniagaan syarikat tersebut untuk tindakan selanjutnya. 

Jika didapati bersalah, syarikat katanya boleh dikenakan denda dibawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993. 

“Saya tidak mengatakan bahawa Fingo (M) Sdn Bhd melanggar undang-undang tetapi kita cuma sangsi dan sebab itu siasatan menyeluruh ke atas operasi perniagaan dijalankan. 

“Bagaimanapun kementerian ingin menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan mana-mana skim MLM atau jualan langsung yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa perlu kerja banyak. 

“Skim seperti ini berkemungkinan penipuan wang atau skim piramid yang bertentangan dengan undang-undang,” ujar Chong. 

Dalam pada itu, orang ramai boleh membuat aduan kepada kementerian menerusi portal web [email protected] atau menerusi Whatsapp kepada 019-2794317 atau mengunjungi terus ke pejabat kementerian di seluruh negara jika ada kegiatan perniagaan yang mencurigai. 
 

  • oleh
  • Advertisement