Anda di sini

Shafie hargai penyertaan Upko bentuk kerajaan baharu

Advertisement
 Shafie (tengah) bersama-sama  Madius (4 dari kanan), Donald (3 dari kanan) dan Dompok (2 dari kiri) serta pemimpin tertinggi Upko menotong kek sambutan Ulang Tahun Ke-25 Upko.
ULANGTAHUN: Shafie (tengah) bersama-sama Madius (4 dari kanan), Donald (3 dari kanan) dan Dompok (2 dari kiri) serta pemimpin tertinggi Upko menotong kek sambutan Ulang Tahun Ke-25 Upko.

PENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal berkata Upko merupakan instrumen yang membolehkan hasrat dan perjuangan Parti Warisan Sabah (Warisan) membentuk sebuah kerajaan bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH).

"Saya melahirkan penghargaan terhadap sumbangan Upko yang membolehkan kerajaan baharu dibentuk," katanya yang juga Presiden Parti Warisan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ulang Tahun ke-25 Upko, bertempat di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah pada malam Khamis.

Shafie berkata parti Upko banyak melahirkan pemimpin di peringkat Persekutuan dan beliau mahu parti ini terus bekerjasama dan berjuang dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

"Ketika Datuk Seri Pamglima Wilfred Madius Tangau menyatakan minat  menyertai kami, saya termasuk mendiang Datuk Stephen Wong (Presiden DAP), Datuk Darell Leiking (Timbalan Presiden Warisan) dan Datuk Christina Liew (Pengerusi PKR Sabah) berbincang mengenai penyertaan Madius, saya tidak mahu membuat keputusan sendiri kerana ini perjuangan bersama.

“Apa yang menarik hati saya ketika itu adalah kesediaan Madius untuk menyertai dan bersama-sama membentuk kerajaan tanpa meminta sebarang jawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kerajaan akan terus berusaha mengekalkan perjuangan politik mereka dengan memberi keutamaan kepada aspek pembangunan negeri dan membantu rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, berdepan cabaran mendatang, rakyat juga harus memberi kerjasama kepada kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan dan usaha menyediakan peluang pekerjaan dapat direalisasikan.

Beliau berkata usaha membawa masuk pelabur-pelabur luar akan terus dilakukan agar lebih banyak pembangunan serta peluang pekerjaan dapat diberikan kepada rakyat Sabah.

"Dalam mendaulatkan hak-hak anak Sabah, aspek pendidikan dan kesihatan diberi penekanan sehingga Kerajaan Sabah menubuhkan Kementerian Pelajaran dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

"Kedua-dua kementerian ini bukan bertujuan menduplikasi peranan kementerian di peringkat pusat, sebaliknya ia untuk melengkapi peranan yang ada bagi memastikan kedua-dua sektor penting kepada masyarakat di kawasan pedalaman dan luar bandar ini mendapat perhatian sewajarnya," jelasnya.

Shafie berkata, beliau mahu masyarakat di luar bandar mendapat akses pendidikan dan kemudahan kesihatan yang lebih baik.

Mengenai usaha membantu kaum lain selain bantuan kepada masyarakat Islam, Mohd Shafie berkata, memberi peruntukan kepada gereja-gereja di Sabah akan diteruskan agar semua bangsa dan agama mendapat perhatian yang sama.

Beliau juga akan memberi peruntukan kepada gereja-gereja di Sabah jika kewangan mencukupi kerana hutang kerajaan masih perlu dibayar.

"Sekiranya mempunyai lebihan kewangan, kita akan berikan kepada pastor-pastor yang ada agar mereka dapat melaksana aktiviti di gereja masing-masing," katanya.

Turut hadir Presiden Upko, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Timbalan Presiden Upko, Datuk Donald Peter Mojuntin, Presiden Kehormat Upko Tan Sri Bernard Giluk Dompok serta ahli-ahli Majlis Tertinggi Upko.

  • oleh
  • Advertisement