Anda di sini

PPMMT disaran peka penggunaan teknologi abad ke-21

Advertisement
 Koh (lima dari kiri) dan Chau (enam kiri) bersama barisan ahli jawatankuasa baharu bergambar kenangan.
PIMPINAN BAHARU: Koh (lima dari kiri) dan Chau (enam kiri) bersama barisan ahli jawatankuasa baharu bergambar kenangan.

TAWAU:  Persatuan Perdagangan Makanan dan Minuman Tawau (PPMMT) disaran menggunakan teknologi abad ke-21 dalam rangka membantu pihak kerajaan menarik pelancong ke negeri ini.

Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT),  Koh Kian Leong berkata penggunaan teknologi  terkini seperti aplikasi pemesanan mudah alih dan pembayaran e-wallet harus disahut oleh setiap pemain industri makanan daerah ini.

"Pengusaha makanan harus peka tentang teknologi. Hal ini kerana, pelancong luar lebih gemar  menggunakan teknologi terkini untuk menempah dan membeli makanan.

"Kita juga dapat melihat di negara luar sudah ada yang menggunakan khidmat pelayan robot dalam  industri makanan mereka," katanya dalam ucapan perasmian majlis angkat sumpah PPMMT ke-17 dan ulang tahun ke-34, baru-baru ini.

Koh berkata, cabaran perniagaan pada hari ini bertambah sengit dan pihak persatuan perlu berubah untuk  terus menarik lebih ramai pelanggan.

Katanya, industri makanan sangat  berkait rapat dengan industri pelancongan dan memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.

"Bandar kita dikenali dengan kepelbagaian cara masakan makanan laut dan harga yang murah di samping pelanggan atau pelancong boleh mendapatkan pada bila-bila masa sehingga larut malam," katanya.

Koh menekankan pemain industri ini perlu berperanan untuk menarik lebih ramai pelancong dengan cara sentiasa meningkatkan kepelbagaian cara masakan dan peluang ini dapat membantu dalam pembangunan ekonomi daerah ini.

Dalam hal lain,  Koh berkata peraturan larangan merokok di premis makanan telah mendapat rungutan daripada pemilik restoran.

"Sebenarnya,  peraturan ini memberi lebih manfaat kepada pihak pengusaha kerana dengan adanya peraturan ini, tiada lagi  pelanggan yang tidak merokok di premis anda," katanya.

Beliau berkata, usaha ini juga adalah untuk memastikan mereka yang tidak merokok seperti wanita dan kanak-kanak tidak akan terdedah dengan asap rokok di tempat makan.

"Peraturan ini tidak menegah mereka yang merokok untuk berhenti merokok, ianya hanya untuk memastikan yang tidak merokok tidak terdedah dengan asap rokok," tambahnya lagi.

Koh dalam masa yang sama juga menggesa agar pihak pengusaha untuk mengurangkan penggunaan peralatan pakai buang seperti bekas menyimpan makanan dan sepit.

"Penggunaan benda-benda ini bukan sahaja merosakkan kecantikkan alam sekitar malah menyebabkan pembuangan sampah yang berlebihan," katanya.

Pengerusi PPMMT; Chau Oi Keong  berkata, usaha menarik lebih ramai pelancong akan memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda di daerah ini.

"Golongan muda terpaksa berhijrah mencari kerja ke tempat lain kerana peluang pekerjaan di daerah ini sangat terhad.

"PPMMT akan terus menyokong usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke daerah ini supaya peluang pekerjaan lebih banyak dan mereka tidak lagi terpaksa berhijrah," katanya lagi.

Turut hadir, wakil Adun Sri Tanjong dan wakil-wakil dari persatuan berkaitan dari seluruh Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement