Anda di sini

Kes hina Nabi, Alister bakal ketahui hukuman pada September

Advertisement
 Alister ketika berada di lobi Mahkamah Kuching.
TUNGGU KEPUTUSAN: Alister ketika berada di lobi Mahkamah Kuching.

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 4 September depan untuk semakan semula terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM50,000 bagi kes hina Nabi awal tahun ini.

Hakim Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu setelah mendengar penghujahan yang dibuat oleh peguam-peguam tertuduh, Francis Teron dan Jeffrey Mok.

Menurut peguam mereka, ketika prosiding mahkamah berlangsung bagi kes Alister Cogia, 22, pada Mac lalu, Alister kurang faham akan perkara yang berlaku kerana ia diterjemah oleh jurubahasa mahkamah ke dalam bahasa Melayu.

“Prosiding ke atas Alister dibacakan dalam bahasa Melayu sedangkan dia lebih faham bahasa Bidayuh. Kenapa mahkamah tidak menyediakan jurubahasa yang boleh berbahasa Bidayuh?” ujar Francis ketika membuat penghujahan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi.

Tambahnya, semasa Alister dihantar ke Hospital Sentosa untuk pemerhatian mental, psikiatri mendapati dia menghadapi kesukaran belajar disebabkan bahasa yang digunakan adalah berbeza.

“Melihatkan kepada situasi itu, kita tahu Alister lebih selesa dan lebih faham sekiranya berkomunikasi menggunakan bahasa Bidayuh,” tegasnya lagi.

Alister juga tidak memahami lumrah dan kesan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

“Anak guam saya memohon untuk dikenakan denda dan beranggapan bahawa dia akan dibenarkan pulang ke rumah setelah mengaku bersalah.

“Jelas bahawa dia tidak faham akan lumrah dan kesan bagi hukuman yang dikenakan ke atasnya iaitu hukuman penjara minimum dua tahun.

“Mahkamah tidak menyedari akan hal ini, maka hukuman yang dikenakan terhadapnya harus disemak semula,” ujar peguam Alister.

Dalam prosiding mahkamah semalam juga, peguam Alister menyatakan tiada rekod menunjukkan hakim menerima pengakuan bersalah Alister ketika menjatuhkan hukuman sedangkan perkara ini sangat penting dalam undang-undang.

Hukuman 10 tahun penjara dan denda RM50,000 dikenakan ke atas Alister selepas dia mengaku bersalah bagi 10 pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi akaun ‘Ayea Yea’ iaitu akaun Facebook miliknya pada Mac lepas.

Lima pertuduhan disabitkan di bawah Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan dan lima pertuduhan lagi disabitkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Rentetan daripada hukuman yang dilihat berlebihan itu, pelbagai pihak menzahirkan rasa tidak puas hati sehingga ada yang memohon semakan semula kes kerana dikhuatiri Alister berdepan masalah mental.

Justeru, Mahkamah Tinggi menetapkan agar dia dihantar ke Hospital Sentosa Kuching untuk menjalani pemerhatian mental selama tiga bulan.

Namun, mahkamah pada 17 Jun lalu mendapati tahap kesihatan mental Alister adalah normal sekali gus disahkan tidak menghadapi sebarang masalah mental.

Menurut laporan Hospital Sentosa Kuching, keadaan mental Alister didapati stabil sepanjang berada di wad selama tiga bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid.

Advertisement