Anda di sini

SIDF Edisi Ke-8 di Sibu pada 13 hingga 17 Ogos

Advertisement
 Virpi Pahkinen Dance Company dari Sweden akan menterjemahkan minda ‘Nordik’ kepada bentuk tarian di SIDF Edisi Ke-8 yang akan diadakan di Sibu pada 13 hingga 17 Ogos ini.
TERSENDIRI DAN UNIK: Virpi Pahkinen Dance Company dari Sweden akan menterjemahkan minda ‘Nordik’ kepada bentuk tarian di SIDF Edisi Ke-8 yang akan diadakan di Sibu pada 13 hingga 17 Ogos ini.

SIBU: Pesta Tarian Antarabangsa Sibu (SIDF) Edisi Ke-8 akan diadakan di Sibu dari 13 hingga 17 Ogos ini.

Ia merupakan anjuran Persatuan Tarian Hornland dan disokong Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di mana acara ini diadakan di pelbagai lokasi di Sibu iaitu di Dewan Suarah Sibu, RH Hotel, Muzium Budaya Warisan Sibu dan Pasar Sentral Sibu.

Menurut kenyataan medianya di sini kelmarin, seramai 14 negara akan mengambil bahagian dalam pesta tersebut dan mereka akan terlibat dalam enam program persembahan di lokasi-lokasi tersebut.

Bagi mendapatkan kesan visual khas yang terbaik untuk penonton, pihak penganjur membawa set lengkap sistem bunyi dan cahaya ke Dewan Suarah Sibu untuk dipasang pada 9 Ogos ini.

Selain itu, seorang pereka pencahayaan yang berpengalaman dari Semenanjung Malaysia Tan Eng Heng telah dijemput membantu menghasilkan kesan pencahayaan terbaik untuk persembahan-persembahan tarian.

Ada empat hari konsert tarian di Dewan Suarah Sibu dengan 1,000 tempat duduk disediakan setiap hari.

Tambahan lagi, pihak penganjur akan menaikkan tempat duduk di belakang baris ke-10 untuk mengelakkan pemandangan para penonton terganggu.

Ini adalah demi memastikan para penonton dapat menonton dengan selesa.

Sementara itu, Teater Eksperimen Langkaui Spesifikasi Persembahan Biasa bagi persembahan teater eksperimen di Muzium Budaya Warisan Sibu, para penari akan membuat persembahan di ruangan tengah dewan mini dan penonton-penonton akan mengelilingi mereka.

Bentuk persembahan teater eksperimen adalah berlainan dengan yang di Dewan Suarah Sibu.

Tempat duduk adalah terhad untuk 100 penonton sahaja dan sekiranya tiket habis dijual, tiada tempat duduk tambahan akan disediakan.

Enam persembahan dalaman adalah berbeza dan tidak berulang-ulang.

Untuk maklumat lanjut tentang konsert tarian dan teater eksperimen, jadual persembahan boleh didapatkan di laman web Pesta Tarian Antarabangsa Sibu http://sidfestival.com/ atau di halaman Facebook https://www.facebook.com/SibuInternationalDanceFestival.

Selain enam program persembahan dalaman, terdapat juga tiga persembahan luar.

Khususnya, persembahan medan yang akan dipersembahkan di Muzium Budaya Warisan pada jam 5 petang pada 14 Ogos ini adalah sebuah pertunjukan yang unik dan istimewa.

Kumpulan penari akan memilih satu lokasi dalam Muzium Budaya Warisan Sibu dan membuat persembahan berdasarkan alam sekeliling.

Semasa pertunjukan, beberapa kumpulan akan berinteraksi dengan para penonton.

Dua persembahan lain akan mengambil tempat di pintu ketiga Pasar Sentral Sibu pada 14 dan 17 Ogos ini.

Yuran masuk ke konsert SIDF adalah RM30 untuk penonton dewasa dan kanak-kanak.

Tiket masuk boleh dibeli di Rejang Book Store atau menghubungi talian 084-313036, Wen Hua Book Store (084-333140), SugarBun di Jalan Pedada (084-311770), Syarikat Great Wall (084-310481), Yours Stationery (084-330281), Farley Supermarket (084-212777), Lai’s Brother Cafe (016-5752720) dan Payung Café (016-8906061).

Selain pembelian tiket di lokasi yang tertera di atas, tiket juga boleh didapati secara dalam talian di laman sesawang Pesta Tarian Antarabangsa Sibu http://sidfestival.com/tickets-2019/.

Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh melawati laman web dan laman Facebook Pesta Tarian Antarabangsa Sibu atau hubungi Persatuan Tarian Hornland di talian 084-349 932 atau 011-38449932.

Advertisement