Anda di sini

Kokain bernilai jutaan dolar dihanyutkan ke pantai NZ

 Gambar serahan inspektor siasatan Colin Parmenter dari Daerah Waitemata Polis New Zealand semalam menunjukkan beberapa bungkusan berisi kokain yang dipamer selepas dijumpai oleh polis di Pantai Bethells di Auckland Barat. — Gambar AFP
PENEMUAN MENGEJUTKAN: Gambar serahan inspektor siasatan Colin Parmenter dari Daerah Waitemata Polis New Zealand semalam menunjukkan beberapa bungkusan berisi kokain yang dipamer selepas dijumpai oleh polis di Pantai Bethells di Auckland Barat. — Gambar AFP

WELLINGTON: Kokain bernilai jutaan dolar telah dihanyutkan ke sebuah pantai di New Zealand (NZ) dan polis menggesa orang ramai semalam untuk menyerahkan bungkusan lain yang mungkin juga muncul.

Polis dipanggil ke Pantai Bethells di Auckland Barat pada petang kelmarin apabila bungkusan dadah tersebut dijumpai di pinggir pantai.

“Polis hadir dan menjumpai kira-kira 19 bungkusan, yang ujian sahkan mengandungi kokain,” kata inspektor siasatan Colin Parmenter.

Dia menganggarkan nilai pasaran setinggi NZ$3 juta (RM8.4 juta).

Laporan media tempatan menyebut bungkusan ber-kenaan terkandung di dalam jaring dan cangkerang yang dijumpai membayangkan ia sudah agak lama berada di laut.

“Terdapat kemungkinan kecil bahawa bungkusan lain mungkin akan muncul di pantai dan kami meminta orang awam untuk menghubungi kami segera jika mereka menjumpainya,” kata Parmenter.

“Dan kita akan menghantar rondaan dengan kerap dalam tempoh beberapa hari akan datang untuk terus memeriksa barang lain yang mungkin dihanyutkan.”

Ini bukan kali pertama sejumlah besar dadah dijumpai di pantai New Zealand.

Pada 2016, 500 kilogram metamfetamina, dengan nilai pasaran hampir NZ$500 juta, dijumpai di sebuah pantai terpencil di utara negara. — AFP