Anda di sini

Kes hina nabi, hukuman bakal diketahui pada September

Advertisement
Alister ketika berada di lobi Mahkamah Kuching.
Alister ketika berada di lobi Mahkamah Kuching.

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 4 September depan untuk semakan semula terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM50,000 bagi kes hina Nabi awal tahun ini.

Hakim Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu setelah mendengar penghujahan yang dibuat oleh peguam-peguam tertuduh, Francis Teron dan Jeffrey Mok. 

Menurut peguam-peguamnya, ketika pertuduhan dibacakan terhadap Alister Cogia, 22, pada Mac lalu, Alister kurang faham akan pertuduhan tersebut kerana ianya dibaca oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Melayu. 

“Pertuduhan ke atas Alister dibacakan dalam Bahasa Melayu sedangkan dia berbangsa Bidayuh. Kenapa pertuduhan tersebut tidak dibacakan dalam Bahasa Bidayuh?” ujar Francis ketika membuat penghujahan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi. 

Tambahnya lagi, semasa Alister dihantar ke Hospital Sentosa untuk pemerhatian mental, psikiatri mendapati dia menghadapi kesukaran belajar disebabkan bahasa yang digunakan adalah berbeza.

“Melihatkan kepada situasi itu, kita tahu Alister lebih selesa dan lebih faham sekiranya berkomunikasi menggunakan Bahasa Bidayuh,” tegasnya lagi.

Alister juga tidak memahami lumrah dan kesan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

“Anak guam saya memohon untuk dikenakan denda dan beranggapan bahawa dia akan dibenarkan pulang ke rumah setelah mengaku bersalah. Jelas bahawa dia tidak faham akan lumrah dan kesan bagi hukuman yang dikenakan ke atasnya iaitu hukuman penjara minimum dua tahun. Mahkamah tidak menyedari akan hal ini, maka, hukuman yang dikenakan terhadapnya harus disemak semula,” ujar peguam Alister. 

Dalam prosiding mahkamah itu tadi juga, peguam Alister menyatakan bahawa tiada rekod menunjukkan hakim menerima pengakuan bersalah Alister ketika menjatuhkan hukuman sedangkan perkara ini sangat penting dalam undang-undang.

Hukuman 10 tahun penjara dan denda RM50,000 dikenakan ke atas Alister selepas dia mengaku bersalah menghina Nabi Muhammad s.a.w menerusi akaun ‘Ayea Yea’ iaitu akaun Facebook miliknya pada Mac lepas.

Rentetan daripada hukuman yang dilihat berlebihan itu, pelbagai pihak menzahirkan rasa tidak puas hati sehingga ada yang memohon semakan semula kes kerana dikhuatiri Alister berdepan masalah mental.

Justeru, Mahkamah Tinggi menetapkan agar dia dihantar ke Hospital Sentosa Kuching untuk menjalani pemerhatian mental selama tiga bulan.

Namun, mahkamah pada 17 Jun lalu mendapati tahap kesihatan mental Alister adalah normal dan sekaligus disahkan tidak menghadapi sebarang masalah mental.

Menurut laporan Hospital Sentosa Kuching, keadaan mental Alister didapati stabil sepanjang berada di wad selama tiga bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid.
 

  • oleh
  • Advertisement