Anda di sini

Gosok kemaluan ke atas kemaluan anak saudara, lelaki dihantar ke Hospital Sentosa untuk pemerhatian

Advertisement
 

KUCHING: Akibat menggosok kemaluannya ke atas kemaluan anak saudara, seorang lelaki diarahkan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini untuk menjalani pemerhatian mental selama sebulan di Hospital Sentosa.

Dalam kejadian 3 Ogos yang lalu, tertuduh mendekati mangsa yang berumur 25 tahun, semasa sedang tidur berseorangan di dalam bilik pada pukul 3 pagi di rumah mereka di Taman Matang Jaya.

Wanita itu terjaga apabila merasakan seseorang naik ke atas katilnya.

Apabila mangsa membuka mata, tertuduh yang berumur 26 tahun, terus mengacukan pisau ke lehernya dan mengarahkannya untuk mendiamkan diri. 

Mangsa yang berada dalam ketakutan hanya diam sementara tertuduh membuka seluarnya.

Selesai menggosok kemaluannya terhadap mangsa, tertuduh meninggalkan bilik dan mangsa terus menghubungi suaminya untuk meminta pertolongan.

Mangsa kemudian dibantu ibunya setelah dimaklumkan suaminya.

Akibat perbuatan terbabit, tertuduh berhadapan dua pertuduhan. Dia mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff menetapkan 9 September depan untuk laporan mental dari pakar psikiatri.

Bagi cubaan merogol, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun penjara dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mangsa menggunakan pisau sehingga mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh dalam rayuan hukumannya memaklumkan mahkamah bahawa dia sedang menderita sakit mental.

“Saya kini masih dalam rawatan dan sedang mengambil ubat. Saya turut mempunyai kad yang sah dari Hospital Umum Sarawak namun saya tidak membawanya hari ini,” ujar tertuduh kepada mahkamah.

Tertuduh turut menyatakan bahawa dia bertanggungjawab menjaga ibunya yang sudah uzur.

Mendengarkan rayuan tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon agar tertuduh dirujuk ke institusi mental.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement