Anda di sini

Presiden Mozambique, bekas kumpulan pemberontak meterai perjanjian damai

Advertisement
 Nyusi (tengah, kiri) dan Momade berpelukan selepas mereka menandatangani perjanjian damai pada satu majlis di Dataran Aman di Maputo, Mozambique kelmarin. — Gambar AFP
ERA BAHARU: Nyusi (tengah, kiri) dan Momade berpelukan selepas mereka menandatangani perjanjian damai pada satu majlis di Dataran Aman di Maputo, Mozambique kelmarin. — Gambar AFP

MAPUTO: Kerajaan Mozambique dan bekas kumpulan pemberontak Renamo memeterai satu perjanjian damai yang sudah lama dinantikan kelmarin, apabila mereka menandatangani perjanjian muktamad bertujuan untuk menamatkan konflik selama bertahun-tahun.

Presiden Filipe Nyusi dan pemimpin Renamo, Ossufo Momade, berpelukan selepas mereka menandatangani perjanjian bersejarah itu pada satu majlis di Dataran Aman di Maputo disaksikan oleh bekas presiden serta para pemimpin serantau dan benua.

Perjanjian itu, yang di-namakan Perjanjian Perdamaian dan Keamanan Maputo, melabuhkan tirai ke atas rundingan maraton yang dimulakan oleh Afonso Dhlakama, pemimpin ber-sejarah Tentangan Negara Mozambique (Renamo), yang meninggal dunia pada Mei tahun lepas.

Presiden Nyusi berkata Mozambique “tidak akan menjadi pentas pepera-ngan”.

“Proses yang kita telah wujudkan tidak dapat ditarik balik. Kita tidak mahu melihat peperangan lagi,” katanya.

Momade pula berikrar untuk “memelihara keamanan dan perdamaian kebangsaan” sambil menyifatkan majlis itu sebagai “permulaan era baharu”.

Beliau turut memberi penghormatan kepada Dhlakama, yang menurutnya adalah “wira kita yang meninggal dunia tanpa menyaksikan perjanjian ini”.

Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu me-ngenai Mozambique, Mirko Manzoni, berkata ia “benar-benar hari bersejarah”.

“Perjanjian ini akan membawa keamanan mutlak di sebuah negara yang sudah menyaksikan penderitaan secukupnya,” kata beliau.

Perjanjian itu dicapai hanya dua bulan sahaja sebelum pilihan raya umum pada 15 Oktober yang dijangka akan dimenangi parti pemerintah Frelimo, kuasa politik yang dominan selama lebih empat dekad.

“Pilihan raya yang aman harus dijadikan peraturan dan bukannya pengecuali-an,” kata pemimpin Renamo itu, dari parti yang pernah mempertikaikan keputusan pilihan raya pada masa lalu.

Renamo, yang ditubuhkan sebagai sebuah kumpulan gerila antikomunis, mencetuskan perang saudara menentang kerajaan Marxis Frelimo sejurus selepas kemerdekaan dari Portugal pada 1975.

Peperangan yang kejam itu, dilihat oleh ramai pakar sejarah sebagai konflik proksi antara Timur dan Barat sewaktu Perang Dingin, berlaku selama 16 tahun.

Kira-kira sejuta orang maut, kebanyakan mereka dalam kebuluran pada 1984-5, dan negara itu musnah dari segi ekonomi dan ditinggalkan dengan bom periuk api yang bertaburan di merata-rata tempat.

Peperangan berakhir apabila Kesatuan Soviet dan Afrika Selatan pada era aparteid mengurangkan sokongan masing-masing bagi Frelimo dan Renamo, yang membawa kepada rundingan damai secara langsung.

Pergerakan pemberontak berkenaan kemudian memasuki politik selepas perjanjian damai 1992 yang ditandatangani di Rom, seterusnya membuka jalan bagi pilihan raya pelbagai parti pada 1994.

Renamo tewas dalam pilihan raya itu dan pilihan raya seterusnya dan menjadi parti pembangkang rasmi, tetapi ia mempertahankan sayap bersenjata.

Namun pada Oktober 2013, Renamo menolak perjanjian damai 1992 selepas angkatan tentera menyerbu kemnya dalam hutan di te-ngah Sathundjira.

Pertelingkahan meletus semula antara tentera kerajaan dengan askar Renamo, yang berlaku sehingga 2016.

Pada 1 Ogos, kedua-dua pihak yang bermusuhan menandatangani perjanjian awal di Taman Negara Gorongosa di mana mereka secara rasmi bersetuju untuk menamatkan permusuhan ketenteraan.

“Perjanjian ini akan berjaya kerana ia adalah keamanan yang dibuat oleh rakyat Mozambique dan untuk rakyat Mozambique. Satu pemisahan dengan zaman silam,” kata Manzoni.

Di kalangan pemimpin yang menghadiri majlis kelmarin adalah Presiden Cyril Ramaphosa dari negara kuasa ekonomi serantau Afrika Selatan dan Presiden Paul Kagame dari Rwanda.

“Pemeteraian perjanjian ini akan membuka laluan bagi pilihan raya yang aman,” kata Ramaphosa.

Portugal, bekas kuasa penjajah, menyuarakan “kepuasan mendalam” dengan apa yang ia sebut sebagai “lembaran baharu yang dibuka pada hari ini”.

“Perjanjian ini, hasil pro-ses rundingan yang lama, merupakan kemajuan asas dalam membina keamanan,” kata kementerian luar di Lisbon.

Pada minggu lepas, Renamo mula mengambil senjata daripada anggota bersenjata sebagai sebahagian daripada perjanjian damai.

Sebahagian daripada pe-juang yang dilucutkan senjata akan diserap ke dalam polis dan tentera Mozambique, manakala anggota lain akan diserap semula ke dalam kehidupan awam.

Lebih 5,200 pejuang Renamo dijangka akan menyerah-kan senjata mereka kepada kerajaan. — AFP

Advertisement