Anda di sini

Ingatkan pelancong jangan merokok di lapangan terbang

Advertisement
 Pelancong dari luar negara kerap ditemui merokok di kawasan Lapangan Terbang Tawau.
JANGAN MEROKOK: Pelancong dari luar negara kerap ditemui merokok di kawasan Lapangan Terbang Tawau.

TAWAU: Ejen pelancongan diminta supaya sentiasa mengingatkan klien mereka yang terdiri daripada pelancong luar negara supaya tidak merokok di lapangan terbang.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Tawau Rahman Sampe berkata walaupun operasi sudah kerap dijalankan di Lapangan Terbang Tawau, namun kes itu didapati masih berulang.

“Kita minta ejen-ejen pelancongan supaya menasihati klien mereka agar tidak merokok bukan sahaja di lapangan terbang, tetapi juga tempat larangan merokok yang lain.

“Misalnya, di premis atau bangunan kerajaan, pengangkutan awam, stesen bas dan sebagainya,” katanya di sini, susulan operasi di Lapangan Terbang Tawau.

Mengulas operasi yang dijalankan di lapangan terbang itu pada malam Selasa, Rahman berkata lapan notis dikeluarkan terhadap perokok yang dikesan melakukan kesalahan.

Tindakan terhadap kesemua perokok terlibat dibuat mengikut Peraturan 11 (1) (g) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (merokok di kawasan larangan).
 
“Kesemua mereka diberikan Notis 32B dan setiap kesalahan dikenakan kompaun sebanyak RM250 seorang yang mana boleh dibayar di Pejabat Kesihatan terdekat.

“Bagaimanapun, jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh 30 hari selepas notis dikeluarkan, perokok-perokok itu diperintahkan untuk hadir ke mahkamah,” katanya.

Jika sabit kesalahan, seseorang pesalah itu boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi tempoh dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Menyentuh operasi yang dijalankan di lapangan terbang terbabit juga, beliau berkata operasi itu disertai 10 penguatkuasa dan diketuai Pegawai Penguatkuasa Abdullah Din.

  • oleh
  • Advertisement