Anda di sini

Big Stage kembali lagi, lakar sejarah tembusi tembok antarabangsa

 Barisan juri, hos dan bintang-bintang yang menjayakan penganjuran musim kedua sewaktu ‘Majlis Sidang Media Big Stage 2019’ baru-baru ini.
MUSIM KEDUA: Barisan juri, hos dan bintang-bintang yang menjayakan penganjuran musim kedua sewaktu ‘Majlis Sidang Media Big Stage 2019’ baru-baru ini.

PROGRAM ‘Big Stage’ ialah sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti menampilkan bakat muda generasi alaf baharu yang kini popular dengan jolokan ‘Budak Baru Nak Up’ atau BBNU dalam kalangan penggiat industri seni hiburan.

Masih mengekalkan konsep asal, penganjuran Big Stage 2019 juga turut merintis inisiatif membuka ruang perkongsian karya muzik di peringkat antarabangsa kepada penyertaan barisan bintang dari dalam dan luar negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Korea Selatan dan Thailand.

Pengurus Saluran Astro Ria Emarina Mohd Kamal dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Astro berkata, “Walaupun usaha ini masih lagi di peringkat permulaan, namun jika disusun rapi dan dijalin dengan teliti, ia mampu membuka lembaran baharu untuk merapatkan jurang pasaran muzik Malaysia dan antarabangsa sekaligus mengukuhkan lagi hubungan di antara negara serantau.”

Musim kedua juga bakal menyaksikan persaingan sengit di antara 12 bintang BBNU yang terdiri daripada enam bintang lelaki dan enam bintang wanita di pentas utama selama lapan minggu.

Enam bintang lelaki Big Stage 2019 itu adalah Adzrin, 19, dari Kuala Lumpur; Aziz Harun, 21, Brunei; Han-Byul, 29, Korea Selatan; Irfan Haris, 18, Johor Bahru; Kucaimars, 22, Negeri Sembilan; Santesh, 31, Selangor; manakala bintang wanita pula adalah Chaleeda,18, Thailand; Dinda Permata, 27, Indonesia; Fieya Julia, 20, Sarawak; Neeta, 25, Kedah; Sheryl Shazwanie, 22, Selangor; dan Syada Amzah, 21, Kuala Lumpur.

Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi telah dinobatkan sebagai juara Big Stage musim pertama sekaligus mengetepikan empat lagi finalis akhir iaitu Shafiq Farhain (naib juara), Afieq Shazwan (tempat ketiga), Wani Kayrie (keempat) dan Baby Shima (kelima).

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin atau lebih dikenali dengan gelaran Datuk Siti masih dikekalkan sebagai Juri Tetap Big Stage untuk musim yang kedua.

Manakala dua lagi figura seni tersohor dari Indonesia iaitu Judika dan Cakra Khan turut diberi mandat untuk menggalas tanggungjawab yang sama di samping Datuk Siti. Kedua mereka akan menduduki kerusi juri tetap secara bergilir-gilir pada setiap minggu.

Sementara itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para bintang.

Guru vokal profesional yang tidak asing lagi, Syafizawati Sharif atau lebih dikenali sebagai Cikgu Syafi sebagai Cikgu Teknikal Vokal Big Stage 2019 bagi memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada para bintang.

Big Stage 2019 juga bakal mendapat sentuhan barisan pemuzik berpengalaman tanah air yang diketuai oleh Sharhan Syazwan atau lebih popular dengan panggilan Ca’an selaku Pengarah Muzik untuk mengiringi persembahan secara ‘live’.

Berdasarkan maklum balas positif yang diterima, Big Stage 2019 turut mengekalkan selebriti popular Alif Satar dan Sherry Al Hadad yang akan mengendalikan pentas utama selaku pengacara musim ini.

Juara Big Stage 2019 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro.

Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Pemenang tempat keempat dan kelima juga tidak pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.

Konsert mingguan Big Stage 2019 akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 8 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9 malam mulai 18 Ogos eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Gempak, Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Manakala Istimewa untuk pelanggan NJOI, konsert minggu pertama Big Stage 2019 juga bakal disiarkan secara serentak di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).

Untuk pengisian di platform digital pula, program ‘Big Stage Live Plus’ akan disiarkan secara langsung bermula jam 8.50 malam di laman sesawang www.bigstage.gempak.com ketika berlangsungnya konsert mingguan Big Stage 2019 bermula 18 Ogos.

Penerbitan Big Stage 2019 turut disokong oleh Vivo, jenama telefon pintar terkenal yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Farm Fresh, jenama tenusu paling segar selaku Penaja Bersama.

Manakala portal Gempak turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital serta ERA sebagai Rakan Radio Rasmi.