
KOTA KINABALU: Waris dan ahli keluarga bagi banduan yang meninggal dunia kini dicari untuk membuat tuntutan mayat.
Mangsa, Sandarosa Low King Wee, 43 meninggal dunia pada 26 Julai lalu kira-kira jam 6 petang di Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat komplikasi kanser paru-paru.
Alamat terakhir semasa daftar kemasukan banduan ke penjara adalah di Taman Nangka Inanam.
Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu Superintendan Mohd Redzualan Yunus berkata urusan tuntutan mayat gagal dibuat berikutan tiada ahli keluarga atau waris mangsa yang dapat dikesan buat masa ini.
“Mayat mangsa kini masih disimpan di Unit Forensik HQE secara sementara dengan kebenaran pihak hospital.
“Waris atau ahli keluarga mangsa diminta hadir ke hospital untuk membuat tuntutan dan sekiranya tiada sebarang pihak membuat tuntutan mayat selepas tujuh hari tindakan pengkebumian mayat akan diuruskan jabatan,” katanya.