PUTATAN: Warga emas rentung dalam kebakaran membabitkan tujuh rumah di Kampung Lembising di sini petang tadi.
Ketua Operasi Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Rudy Mekii berkata bertindak atas kejadian, 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dan Kota Kinabalu digegaskan ke lokasi.
“Kejadian kira-kira jam 2.50 petang membabitkan tujuh rumah iaitu tiga rumah jenis tidak kekal dan dua lagi separuh kekal, masing-masing seluas 15x20 kaki persegi terbakar keseluruhan.
“Dua lagi rumah jenis kekal dan separuh kekal berukuran 20x30 kaki persegi terbakar 10 peratus,” katanya.
Menurutnya seorang mangsa lelaki rentung dikenal pasti sebagai Sarulai Ompoit @Jimmy, 80.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Turut hadir di lokasi kejadian ialah Penolong Pengarah Bahagian Operasi Misran Bisara dan Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Johari Dzulkifli.