Anda di sini

Pertandingan karya pilihan GAH UMS tawar hadiah bernilai RM10,500

Advertisement
 Antara contoh karya dari mahasiswa UMS.
KARYA: Antara contoh karya dari mahasiswa UMS.

KOTA KINABALU: Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH UMS) menganjurkan Pertandingan Karya Pilihan Azman Hashim UMS 2019/2020 dengan menawarkan hadiah bernilai RM10,500.

Penyelaras pertandingan Prof Madya Dr Humin Jusilin berkata, ia diadakan sempena pembukaannya yang dijadualkan pada tahun 2020.

Katanya, tema pertandingan adalah bebas namun karya itu harus berkaitan Borneo terutama Negeri Sabah.

“Ia bagi memberi peluang kepada pengkarya untuk meneroka dengan lebih mendalam keunikan pelbagai aspek sosiobudaya yang terdapat di kawasan Borneo terutama yang berkaitan kehidupan masyarakat dan alam sekitarnya.

“Kami mengharapkan melalui penyertaan daripada para pengkarya dalam pelbagai bidang seperti pelukis dan pembuat arca, ia akan dapat menghasilkan sebuah karya yang unik dan berbeza seterusnya dapat menarik masyarakat untuk menikmati dan menghargai karya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, karya yang terpilih sebagai pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM4,000, tempat kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.

DR HUMIN
DR HUMIN

Katanya, penganjur juga menyediakan hadiah sagu hati untuk 10 pemenang bernilai RM350 setiap satu selain sijil penyertaan kepada semua peserta.

“Setiap karya terpilih juga akan dipamerkan melalui program khas sempena perasmian Galeri Azman Hashim UMS yang dijangka akan berlangsung pada pertengahan tahun hadapan,” katanya.

Menyentuh mengenai GAH UMS, Humin memberitahu galeri berkenaan adalah sebuah lagi ruang yang memberi peluang kepada para pengkarya dan penggiat seni terutama di Sabah untuk mempamerkan hasil karya mereka kepada masyarakat.

“Bangunan galeri ini juga akan menjadi sebuah mercu tanda baharu Sabah yang berkonsepkan edu-tourism bagi menarik pelancong untuk menghargai keunikan sosiobudaya masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik melalui pelbagai aktiviti seperti pameran karya seni dan persembahan kebudayaan.

“Bangunan GAH UMS yang berbentuk bulatan sangat unik kerana reka bentuknya seperti gong yang merupakan alat muzik penting di Sabah,“ tambahnya yang juga pensyarah Program Teknologi Seni Visual, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS.

Sehubungan itu, mereka yang berminat dan mempunyai bakat dalam seni halus dan teknologi seni adalah dipelawa untuk menyertai dan menghantar karya ke Pertandingan Karya Pilihan Azman Hashim UMS 2019/2020.

Sebarang pertanyaan mengenai pertandingan boleh menghubungi Dr Humin (019-8626696), Faez Huzaini (014-9559787) dan Noor Fazlilawaty Ghulamdinn (011-59764576) atau dengan melayari Facebook Galeri Azman Hashim UMS.

  • oleh
  • Advertisement