
KOTA KINABALU: Pemikiran masyarakat bahawa masalah sampah adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) atau syarikat konsesi perlu dikikis.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, pemikiran seumpamanya perlu diatasi kerana sampah itu datangnya dari diri sendiri atau masyarakat, ia adalah masalah bersama dan bukan hanya terletak di bahu kerajaan kerana ia turut berlaku di luar perkadaran PBT.
"Masalah sampah bukan sahaja dihadapi di negeri ini, tetapi juga menjadi masalah di peringkat nasional.
"Sehingga kini, masih belum ada satu kaedah terbaik untuk mengatasi masalah sampah, oleh itu usaha terbaik mengatasinya adalah masyarakat harus diberikan pendidikan kesedaran mengenai kebersihan," katanya ketika menjawab soalah tambahan Datuk Bolkiah Ismail (Pitas-Warisan).
Beliau berkata, walaupun wujudnya pelbagai mekasnisma atau peralatan digunakan untuk mengurus sampah, namun akhirnya tanpa pendidikan mengenai tanggungjawab masalah sampah tidak juga dapat diatasi.
Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pihaknya sedar masalah sampah bukan sahaja di darat tetapi juga di laut.
"Kawasan pelancongan seperti Pulau Gaya, Kudat dan Semporna turut berhadapan masalah berkenaan.
"Kita sudah ada pendekatan untuk mengatasi masalah berkenaan, tetapi apa yang lebih penting apa sekalipun mekanisma yang digunakan, sekiranya masyarakat masih tidak sedar akan tanggungjawab itu, maka akhirnya sampah masih dibuang ke laut dan tempat bukan sepatutnya," katanya.
Ketika sidang media, Jaujan menjelaskan kos yang dibelanjakan untuk mengurus sampah mencecah ratusan juta di negeri ini setiap tahun.
"Untuk Tawau sahaja, sejumlah lebih RM500,000 dibayar kepada syarikat konsesi untuk mengurus sampah dalam sebulan, dan setahun sudah RM6 juta, ini tidak termasuk daerah lain.
"Kaedah pengurusan sampah sudah disediakan tetapi tidak juga dapat atasi masalah itu sekiranya pendidikan kesedaran tidak diutamakan.
"Adalah lebih baik duit itu digunakan untuk mendidik kesedaran dan kesihatan terhadap masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, Jaujan turut memberikan jaminan bahawa Majlis Daerah Tongod akan diisytiharkan dalam tahun ini.
Katanya, kawasan daerah itu sudah digazetkan dan kini hanya menunggu kelulusan daripada jabatan berkaitan. Pengisytiharan itu nanti sudah pasti akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Rahman Kongkawang (Labuk-PBS).