Anda di sini

Pasangan warga asing didenda RM4,000, miliki pasport Malaysia palsu

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini mengenakan denda sebanyak RM4,000 atau penjara empat bulan terhadap sepasang warga asing atas kesalahan memiliki pasport Malaysia palsu.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Bui Thi Huong, 21, dan Phan Ngoc Hieu, 28, yang mengaku salah selepas jurubahasa menterjemahkan pertuduhan terbabit dalam bahasa Vietnam.

Kedua-dua tertuduh ditangkap kerana disyaki memiliki pasport Malaysia palsu pada 16 Julai jam 7 malam di kaunter balai berlepas antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini.

Bui didapati memiliki pasport bernombor A52834062 atas nama Mo Tee Huong dan Phan atas nama Fong Gok Hui bernombor A52416759.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (1)(a) Akta Pasport 1966 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara selama lima tahun, atau kedua-duanya.

Semasa rayuan, Peguam Ram Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh menyatakan Bui dan Phan direman sejak 17 Julai dan meminta hukuman yang ringan dikenakan terhadap mereka.

Menurutnya kedua-dua anak guamnya juga memegang pasport Vietnam yang sah untuk memasuki negara ini dan memohon proses pengurusan pulang ke negara asal diurus pihak keluarga tertuduh.

Namun, Pegawai Pendakwa Hamisah Hj Puteh dari Jabatan Imigresen membantah permohonan itu dan meminta hukuman berat dikenakan, supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat dan tertuduh sendiri.

Mahkamah memerintahkan Bui dan Phan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement