Anda di sini

NGO belia akar umbi Tawau sedia semarak gelombang anti rasis

Advertisement
SAHARUDIN
SAHARUDIN

TAWAU: Persatuan-persatuan (NGO) belia akar umbi di Bahagian Tawau sedia menyemarakkan gelombang gerakan massa menolak sikap rasis secara total demi keamanan negeri ini.

Setiausaha Gabungan Persatuan Belia Bahagian Tawau (GPBBT) Saharudin Japarudin berkata anak muda sedar keperluan menggerakkan gelombang anti rasis dalam skala besar.

“Sebenarnya kita bimbang jika isu sensitif yang mudah tersebar menerusi media sosial tidak ditangani, bibit kebencian akan lebih subur berbanding kecintaan sesama warga.

“Sebab itu kita lihat idealisme Ketua Menteri bahawa Sabah adalah negeri contoh untuk negeri lain ini perlu kita terjemahkan dalam bentuk teladan dari segi sikap kita sendiri.

“Semangat rasis yang penuh syak wasangka perlu dikikis habis, kita perlu bangkit menjadi warga cintakan tanahair serta mengutamakan hubungan perpaduan,” katanya.

Saharudin berkata GPBBT melihat potensi pembangunan kepimpinan generasi baharu yang bersatu tanpa diselubungi gelisah akibat momokan isu perbezaan agama dan kaum.

Sebagaimana pentingnya untuk sebuah negeri majmuk seperti Sabah mempunyai hubungan erat antara kaum jika mahu mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaannya.

“Namun perkara ini juga perlu bermula daripada pemimpin hari ini supaya sentiasa peka dalam menyantuni semua agama dan bangsa untuk memastikan agenda nasional tercapai.

“Kita perlu memastikan keamanan dan keharmonian sesama warga tanpa menyentuh sensitiviti agama dan kaum dapat dijayakan dengan kemesraan dan hormat menghormati.

“Kita turut menyokong tindakan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Malaysia (ROY) yang menolak pendaftaran nama persatuan belia berasaskan kaum atau agama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap golongan belia sebagai pelapis kepimpinan negara membuktikan kematangan menjalin hubungan sesama tanpa batas agama atau kaum.

Menurutnya, perkara itu perlu dilakukan menerusi pelbagai kaedah termasukah dengan menyertai NGO-NGO yang mengutamakan penglibatan keanggotaan semua kaum.

“Bagaimanapun, kita percaya setiap warga perlu mencintai agama dan kaum mereka sendiri, tetapi bukannya dengan cara menindas atau menafikan hak orang lain.

“Kita juga boleh mencintai agama dan kaum kita tetapi pada masa sama turut meraikan perbezaan yang wujud dengan agama atau kaum lain serta berusaha mencari persamaan.

“Kita cintakan tanahair ini dan mahu terus merdeka, aman damai serta berkembang maju seiring peralihan masa, tanpa kebimbangan yang menghantui akal dan hati kita,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menyifatkan sudah tiba masanya gelombang gerakan massa yang bersikap anti rasis diaktifkan di negeri ini.

Rakyat diminta keluar dari momokan perbezaan agama dan kaum untuk memastikan hubungan perpaduan dalam sebuah negara atau negeri majmuk terus dipelihara.

“Kita mahukan kesatuan yang tidak terbatas oleh perbezaan agama dan kaum, supaya kita lebih bersedia menghadapi cabaran serta kekangan ekonomi yang ada,” kata Shafie. 

  • oleh
  • Advertisement