Anda di sini

Mudah percaya, Floor 88 terpedaya dalam episod ketujuh ICSYVMY 2

Advertisement
 Syahrul berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000. — Gambar ihsan TV3
MENANG: Syahrul berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000. — Gambar ihsan TV3

“Sherry! Kenapa kau rasa dia mencurigakan? Bukan kau ke yang patut ‘back up’ dia?”

ITULAH soalan Shuk kepada Sherry Al-Hadad selepas Sherry tidak sengaja mengeluarkan satu kenyataan yang bercanggah dengan kata-katanya sebelum itu, ketika mempertahankan penyanyi misteri bergelar ‘Anak Mentari’ (Syahrul Nizam Sudir) selepas mendengar rakaman suara sebenar penyanyi misteri berkenaan.

Sherry telah hadir sebagai penyiasat jemputan untuk episod ketujuh I Can See Your Voice Malaysia 2 (ICSYVMY 2) yang turut disertai oleh Fatin Afeefa serta Floor 88 selaku artis jemputan kali ini.

Walaupun ramai yang sudah mula mengesyaki bahawa Syahrul adalah seorang penyamar, namun kumpulan Floor 88 tetap membuat keputusan untuk berduet dengannya, dan menyingkirkan seorang lagi penyamar bersuara sumbang iaitu ‘Aku Nak Jadi Bos’ (Aidi Azrizal Hassan).

Kebenaran akhirnya terungkap apabila Syahrul perlu mende-dahkan suara sebenarnya di pentas penentuan. Mendendangkan lagu berjudul ‘Zalikha’ nyanyian asal Floor 88, Ayie yang merupakan vokalis kumpulan tersebut hanya mampu ketawa kerana pasangan duetnya itu adalah seorang penyamar bersuara sumbang.

Dengan itu, secara automatik Syahrul berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Kumpulan Floor 88 telah membuat kesilapan yang besar apabila mereka sebulat suara menyingkir penyanyi misteri ‘Cergas Dan Pantas’ (Muhammad Shafique Amir) di pusingan yang pertama.

Mungkin ramai yang tidak yakin dengan kemampuan Shafique untuk menyanyi kerana paras rupanya langsung tidak kelihatan seperti seorang penyanyi.

Namun, air yang tenang jangan disangka tiada buaya kerana Shafique berjaya membuat semua orang terpegun dengan suaranya yang merdu.

Dua lagi penyanyi misteri iaitu ‘Mat Konvoi’ (Mohamad Badruzzaman Zainudin) dan ‘Cahaya, Tanah, Air’ (Syed Luqman Nulhakim Syed Mohd Nizam) telah disingkirkan oleh Floor 88 di pusingan kedua kerana persembahan lip-sync mereka tidak meyakinkan.

Pada awalnya, setiap ahli kumpulan ini mampu menarik nafas lega kerana Badruzzaman langsung tidak ada bakat menyanyi dan ini bermakna Floor 88 berjaya menyingkirkan seorang penyamar. Akan tetapi, kegembiraan mereka tidak bertahan lama kerana Luqman yang merupakan penyanyi sebenar juga telah disingkirkan.

Mungkin tuah tidak berpihak kepada Floor 88 di episod kali ini kerana mereka telah membuat silap sekali lagi, apabila mereka bersepakat untuk menyingkirkan penyanyi misteri bergelar ‘Kapten Keselamatan’ (Muhammad Aswan Musa) yang merupakan penyanyi sebenar.

Ahli panel penyiasat juga suka menyakat Aswan kerana wajahnya mirip Mark Adam.

ICSYVMY musim kedua dihoskan oleh Shuk Sahar dan Sean LJE. Manakala tugas sebagai ‘penyiasat tetap’ masih lagi digalas oleh Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul.

ICSYVMY musim kedua bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 9 malam hanya di TV3. ICSYVMY juga boleh dapat disaksikan menerusi strim LIVE secara HD di tonton, YouTube TV3 Malaysia Official dan YouTube TV9 Malaysia Official.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook & Instagram di @tv3malaysia.

Advertisement