Anda di sini

Lelaki didakwa laku kesalahan seksual

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua tuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap seorang remaja dan kanak-kanak perempuan pada dua tahun lalu.

Awangku Wassli Awangku Damit, 33, yang diwakili Peguam Yusry  Pungut bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azreena Aziz.

Tertuduh melakukan kesalahan terbabit terhadap dua mangsa yang masing-masing berusia 17 tahun dan 11 tahun, sekitar Jun dan Ogos 2017 di sebuah kampung di daerah Sipitang.

Hukuman yang diperuntukkan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwaraya Dinesh Raja membantah ikat jamin diberikan kepada tertuduh.

Yusry berkata anak guamnya bekerja sendiri dengan pendapatan sebanyak RM900 sebulan, yang mana isteri dan dua anaknya berusia tujuh dan empat tahun bergantung penuh kepadanya.

Oleh itu, beliau memohon kepada mahkamah supaya membenarkan sejumlah ikat jamin yang rendah diberikan kepada tertuduh.
 
Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 23 September dan perbicaraan pada 18 hingga 21 November terhadap Awangku Wassli.

Sementara menunggu kes selesai, mahkamah membebaskan tertuduh dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 untuk setiap pertuduhan dicagarkan dua penjamin tempatan.

Syarat tambahan, tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah jika ada.

  • oleh
  • Advertisement