Anda di sini

KKTP kaji penggunaan kaedah 'Waste to Energy' dalam pengurusan sampah

Advertisement
 Jaujan (tengah) menjelaskan sesuatu kepada media, turut kelihatan ialah Pembantu Menteri KKTP George Hiew dan Setiausaha Tetap KKTP Masnah Matsalleh.
SIDANG MEDIA: Jaujan (tengah) menjelaskan sesuatu kepada media, turut kelihatan ialah Pembantu Menteri KKTP George Hiew dan Setiausaha Tetap KKTP Masnah Matsalleh.

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) sedang mengkaji kemungkinan penggunaan kaedah 'Waste to Enegry' dalam pengurusan sisa pepejal di Sabah.

Menterinya Datuk Jaujan Sambakong berkata, kaedah konvensional secara penimbusan di tapak pelupusan sampah semakin tidak relevan dan memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia serta alam sekitar.

"Pelbagai syarikat luar dan tempatan ada mengadakan pertemuan untuk tujuan berkenaan tetapi sehingga kini masih belum mempunyai kata putus," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di sini pada Rabu.

Ketika menjawab soalan lisan Loretto S Padua Jr (Adun Dilantik, Keningau-Warisan), beliau menjelaskan KKTP akan terus memperhebatkan kempen dan mengatur strategi demi menjadikan persekitaran hidup rakyat lebih hijau, selamat, harmoni dan sejahtera.

Katanya, kempen kebersihan pantai dan kempen tanpa beg plastik, polisterina dan straw sudah dilaksanakan di Ranau, Kudat dan Sandakan, dan akan diteruskan di daerah lain.

"Saya percaya pendedahan berkenaan dengan kepentingan penjagaan kebersihan perlu bermula dari peringkat awal masyarakat lagi dan persekitaran sihat mampu melahirkan rakyat lebih sihat yang boleh menyumbang kepada pembangunan negeri," katanya.

Jaujan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Majlis Daerah Keningau sudah menubuhkan lima pasukan pekerja yang lengkap dengan peralatan kebersihan untuk mengutip sampah di kawasan bandar sekali dalam seminggu.

Katanya, kekerapan kerja pembersihan itu akan ditambah dua kali seminggu apabila bilangan pekerja dan peralatan kebersihan ditambah dalam masa terdekat.

"Masalah longgokan sampah di rumah-rumah sampah kawasan pekan Keningau yang disebabkan oleh pembuangan sampah oleh penduduk dari luar kawasan operasi majlis akan ditangani dengan menempatkan tong-tong sampah Roll On Roll Off (RORO) di kawasan strategik.

"Pihak majlis juga akan meningkatkan kempen kebersihan seperti Kempen Anti Kutu Sampah dan program gotong-royong di kawasan Pekan Keningau bagi mengurangkan sampah," katanya.

Menurutnya, pihak majlis juga akan sentiasa menguatkuasakan undang-undang kecil Uniform (Anti-Litter) By Laws 2010 terhadap kesalahan membuang sampah di merata tempat.

  • oleh
  • Advertisement