Anda di sini

KKIP kemuka cadangan pembangunan kawasan perindustrian di Kg Kilugus

Advertisement
MADIUS TANGAU
MADIUS TANGAU

KOTA KINABALU: Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sdn Bhd telah mengemukakan cadangan pembangunan kawasan perindustrian di kawasan tanah Kg Kilugus, Kuala Penyu pada tahun 2005 dan dirancang untuk dibangunkan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-9 (RMKe9) 2006-2010.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, kawasan seluas 300 ekar dalam kawasan simpanan padang ragut di Kg Kilugus itu telah dikenal pasti sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian.

"Kawasan itu sangat sesuai kerana lokasi berhampiran dengan kawasan gula Sabah, geografi kawasan yang tidak memerlukan kos pemotongan tanah yang tinggi, terletak di pertengahan Kuala Penyu dan Menumbok serta berhampiran dengan kemudahan asas seperti jalan raya, letrik, air dan telekomunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Limus Jury (Upko-Kuala Penyu).

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, pembangunan kawasan itu dijangka akan menelan belanja pembangunan kira-kira RM60 juta dengan sasaran industri utama adalah pemprosesan sumber atau bahan mentah terutama sumber gula yang terdapat di kawasan sekitar.

Katanya, objektif utama untuk menyasarkan pengeluaran produk bernilai tambah adalah, selain memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk berkecimpung dalam industri pembuatan, ia juga untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat di sekitar Kuala Penyu.

Bagaimanapun, katanya, permohonan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Negeri bernilai kira-kira RM60 juta tidak dipertimbangkan di bawah RMKe9.

Katanya, cadangan pembangunan itu akan diteliti dengan lebih lanjut selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan kawasan di luar bandar.  

"Ia juga sejajar dengan dasar kerajaan untuk membangunkan sektor pembuatan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang disasarkan bagi menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada 7.2 peratus kepada 35 peratus menjelang tahun 2035," katanya.

Madius berkata, dalam usaha membangunkan sesebuah kawasan perindustrian, banyak faktor yang perlu diambil kira.

Menurutnya, dari beberapa lawatan yang telah diadakan oleh kementeriannya, didapati bahawa negeri-negeri yang mengalami kadar pembangunan yang pesat adalah seperti Pulau Pinang, Sarawak dan Johor.

"Jentera pembangunan mereka amat fokus dan menjurus ke arah pencapaian objektif yang sama. Peruntukan sumber-sumber terutama kewangan adalah dikendalikan secara terfokus di mana sumber itu akan menyumbang secara langsung kepada kejayaan pelaksanaan sesuatu program atau projek pembangunan.

"Contohnya, penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem perparitan, sistem pembetung najis, sistem bekalan air dan elektrik, dan lain-lain kemudahan logistik termasuk pelabuhan yang menyokong pertumbuhan aktiviti sektor pembuatan adalah dirancang secara 'in-tandem' dengan cadangan pembangunan kawasan itu sebagai kawasan perindustrian," katanya.

  • oleh
  • Advertisement