Anda di sini

JTU perlu kaji kawasan setinggan digazetkan sebagai perkampungan

Advertisement
JAUJAN SAMBAKONG
JAUJAN SAMBAKONG

KOTA KINABALU: Kerajaan memerlukan kerjasama daripada Jabatan Tanah dan Ukur untuk membuat kajian di setiap kawasan setinggan yang layak untuk digazetkan sebagai perkampungan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, usaha itu penting bagi membolehkan usaha menyambung bekalan elektrik dan air secara sah ke perkampungan berkenaan.

"Keadaan itu penting dalam usaha kita mengelakkan daripada masalah kebakaran akibat aktiviti penyambungan elektrik secara haram.

"Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) juga sudah mengadakan perjumpaan dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menangani masalah setinggan yang tidak mendapat bekalan elektrik dan air secara sah," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, seperti yang dijelaskan oleh Ketua Menteri, kerajaan perlu membantu kawasan setinggan agar digazetkan sebagai sebuah perkampungan. Mengikut akta atau ordinan, mana-mana tempat yang tidak diisytiharkan sebagai perkampungan, penempatan itu tidak layak untuk dibekalkan elektrik dan air.

Katanya, Sabah kini mempunyai banyak setinggan di kesemua 25 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di Semporna, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Sepanggar.

"Pihak Jabatan Tanah dan Ukur bersama KKTP serta pimpinan peringkat akar umbi kampung perlu memberikan kerjasama penuh.

"Kita kena lihat sekiranya tanah itu dimiliki kerajaan tetapi kawasan itu masih dianggap setinggan, saya akan senaraikan semua status kampung itu dan dibawa ke Kabinet," katanya.

Sementara itu, Jaujan yang juga Menteri KKTP menjelaskan tindakan pihak yang memotong atau mencederakan anjing liar yang tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak berperikemanusiaan.

Katanya, anjing itu bernyawa seperti mana manusia cuma ia adalah seekor haiwan. Pihaknya sudah berbincang dengan pihak badan bukan kerajaan berkaitan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi mengadakan satu bengkel bagi menangani permasalahan berkenaan.

"Ia memerlukan satu kaedah baik untuk mengatasi masalah anjing liar, tindakan individu terbabit bukan saja tidak baik, tetapi apa yang membimbangkan kita adalah haiwan liar ini berisiko membawa penyakit anjing gila seperti di Sarawak.

"Anjing berkeliaran juga ada kaitan dengan sampah, oleh itu keupayaan PBT di Sabah perlu ditingkatkan bagi mengatasi masalah itu," katanya.

  • oleh
  • Advertisement