Anda di sini

Dua penagih berulang kena penjara lima tahun, satu sebat

Advertisement

KOTA KINABALU: Dua lelaki disabitkan dengan kesalahan menggunakan dadah buat kali ketiga, dikenakan penjara lima tahun dan satu sebat oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Sahrul Sidin dan Cyrill John Paniah selepas masing-masing mengaku salah mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 39 C (1) akta sama.

Mereka didapati positif menggunakan dadah pada 26 Disember tahun lalu dan 17 Jun di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dan Kota Kinabalu.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara antara lima tahun hingga tujuh tahun dan dikenakan tidak melebihi tiga sebat.

Semasa rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman mereka diringankan dan dikira dari tarikh tangkap.

Sahrul menyatakan mempunyai seorang isteri dan dua anak untuk ditanggung, sementara Cyrill memberitahu dirinya seorang ayah tunggal yang perlu menjaga lima anaknya.

Namun, Timbalan Pendakwaraya Dinesh Raja menegaskan hukuman setimpal harus dijatuhkan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan pengawasan polis selama tempoh dua tahun, selepas tamat menjalani pemenjaraan yang mana dikira dari tarikh tangkap.

  • oleh
  • Advertisement