Anda di sini

Bawa tuntutan hasil Sabah ke mahkamah bukan langkah wajar

Advertisement
SHAFIE (kanan) bersama dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew dan Datuk Wilfred Madius Tangau di persidangan DUN semalam.
SHAFIE (kanan) bersama dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew dan Datuk Wilfred Madius Tangau di persidangan DUN.

KOTA KINABALU: Cadangan untuk membawa tuntutan hasil Sabah dari kerajaan Persekutuan ke mahkamah bukanlah satu tindakan yang wajar.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, mengheret kerajaan Persekutuan ke mahkamah bukanlah satu langkah yang elok dalam merealisasikan tuntutan Sabah.

"Saya yakin ia bukanlah langkah yang wajar untuk kita pastikan supaya Sabah dapat realisasikan apa tuntutan kita kepada kerajaan Persekutuan.

"Ini bukanlah perkara yang mudah dan saya sedar apa yang dicadangkan perlu selari dengan apa yang kita sedang lakukan.

"Saya turut mengarahkan supaya Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk meneliti perkara ini memandangkan ada beberapa isu kita perlu persetujui," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffery Kitingan (Star-Tambunan) mengenai cadangan membawa isu tuntutan hasil Sabah ke mahkamah.

"Kita sedar tuntutan ini sudah begitu lama lebih 50 tahun dan kita sepatutnya sudah berjaya realisasikannya dari awal kerana ia satu kerangka yang termaktub dalam perlembagaan.

"Banyak pilihan yang kita boleh kenal pasti antaranya berapa peratus sama ada 20 peratus dari segi royalti minyak.

"Saya juga cadangkan kepada pihak Petronas sekiranya 20 peratus tidak dapat direalisasikan sebahagian daripada royalti yang ada, berapa jumlah royalti sebenarnya yang ada dalam 20 peratus itu," jelasnya.

Dalam pada itu, Shafie menjelaskan perkembangan terkini mengenai tuntutan kajian semula pemberian khas kepada Sabah, kerajaan negeri mengemukakan satu draf garis panduan bagi pelaksanaan kajian semula pemberian khas yang lebih berstruktur kepada kerajaan Persekutuan pada 9 Julai lepas.

Menurutnya, pada masa ini kerajaan negeri masih menantikan maklum balas daripada kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu.

  • oleh
  • Advertisement