
KUDAT: Angin kencang beserta hujan yang turun seawal jam 4 pagi menerbangkan atap Pejabat Imigresen di sini pada Rabu.
Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohd Saidi Tabin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 11.58 pagi dan menggegaskan 11 anggota ke lokasi kejadian.
“Atap pejabat yang diterbangkan angin kemudiannya menghempap pondok kawalan Sabah Port.
“Anggota bomba yang turun ke lokasi kejadian melakukan operasi menurunkan atap terbabit dan menjalankan pembersihan pada bangunan terjejas,” katanya.
Menurutnya tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini dan operasi keseluruhan ditamatkan jam 1.13 petang.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah semasa dihubungi berkata tiada panggilan kecemasan membabitkan kejadian teruk diterima dan hanya dua panggilan berkaitan pokok tumbang masing-masing di Kuala Penyu dan Penampang.
Jurucakap jabatan itu berkata walaupun pihaknya tidak mendapat sebarang pangggilan kecemasan setakat ini namun penjagaan keselamatan serta sikap sentiasa berhati-hati adalah penting untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku terutamanya semasa cuaca buruk sekarang.
“Pasukan bomba sentiasa bersiap sedia dalam penugasan untuk memastikan kita melaksanakan tindakan pantas setiap masa jika berlakunya sebarang kecemasan sesuai dengan tugas kita dalam jabatan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perkapalan berada pada tahap kedua.
Katanya angin kencang barat daya berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di beberapa kawasan termasuk Layang-Layang sehingga Sabtu.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
“Amaran kategori pertama dengan angin kencang barat daya berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter turut dijangka berlaku di beberapa kawasan termasuk Labuan pada tempoh sama,” katanya.
Tambahnya amaran itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut serta sukan laut.
Jabatan berkenaan turut menasihatkan warga maritim mengenai taufan Lekima dikesan pada kedudukan 19.7 utara dan 128.0 timur, kira-kira 723 kilometer ke Tenggara Naha Jepun.
“Pergerakan taufan adalah hampir pegun sehingga 126 kmsj dan boleh dirasai sehingga 1,867 kilometer ke timur laut Kudat, bagaimanapun tiada kesan signifikan pada negara,” katanya.
Turut terkesan dalam keadaan cuaca buruk itu membabitkan dua individu masing-masing Mustaib Mumin dan Suhaimi Salleh, 65, dari Kampung Malubang Pitas maut selepas bot yang dinaiki mereka dihempas ombak semasa berada di perairan Pitas dari arah Kudat kira-kira jam 12 tengahari Selasa.
Seorang lagi mangsa yang turut bersama semasa kejadian iaitu Lily Sumanti Suhaimi, 29, masih belum ditemukan dan pasukan SAR sedang menjalankan operasi pencarian di sekitar lokasi kejadian.